TUMPAT: Penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Pilihan
Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak akan memberi kesan kepada kepemimpinan
Umno Kelantan untuk berdepan pilihan raya.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed,
berkata walaupun parti berkenaan mendakwa mempunyai barisan kepemimpinan
yang kuat di setiap negeri, ia tidak akan melemahkan semangat Umno
untuk terus bekerja membela nasib rakyat.
Katanya, walaupun PPBM mempunyai beberapa bekas pemimpin Umno dan
berusaha memenangi hati rakyat, ia tidak bermakna parti itu kuat.
"Bagi Umno Kelantan, kita yakin ahli (Umno di Kelantan) tetap bersama
parti dan setia dengan usaha perjuangan dilakukan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak.
"Namun, saya mengingatkan ahli parti supaya sentiasa waspada dengan
ancaman politik pembangkang yang sering mengganggu gerak kerja Umno.
"Ini kerana, parti pembangkang akan berusaha menarik ahli dari
mana-mana parti (termasuk Umno) dan menawarkan jawatan dengan bayaran
lumayan supaya menyokong dan berada dalam kepemimpinan parti mereka,"
katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis
Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) PRU14 Parlimen Tumpat di
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berangan, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan RM52,000 kepada 52 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Parlimen Tumpat.
Turut hadir, Pengerusi BN Parlimen Tumpat, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz dan ADUN Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail.
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
berkata, walaupun Umno dan BN Kelantan sentiasa berdepan cabaran dan
halangan untuk merampas kembali negeri ini, ia tetap menjadi agenda
utama.
Katanya, BN dan Umno Kelantan juga mempunyai hubungan kukuh dengan
pengundi masyarakat Siam, selain Cina dan India walaupun mereka golongan
minoriti di negeri ini.
"Seperti di (DUN) Pengkalan Kubor, BN mempunyai ramai pengundi
masyarakat Siam beragama Buddha yang sentiasa menyokong Umno dan BN.
"Jadi itu membuktikan kerjasama dan perpaduan kukuh dalam kalangan
pemimpin bukan Melayu dengan Umno serta BN dan ini menjadi ramuan bagi
memastikan kemenangan di Kelantan dicapai pada pilihan raya akan
datang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan