Oleh Athirah Hanapiah & Ainor Rahim
SHAH ALAM: Ketua Pemuda AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad mengakui majoriti
pengundi Pakatan Harapan (PH) yang memilih mereka pada pilihan raya umum
lepas kecewa dengan perkembangan parti itu hari ini.
Katanya, dengan pelbagai krisis dalaman yang melanda pembangkang hari
ini telah menjadikan rakyat keliru seterusnya memberi tanggapan PH masih
belum bersedia mentadbir negara.
“Suka atau tidak pastilah majoriti pengundi yang telah memilih memberi
harapan kepada kita semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU13) berasa
kecewa, marah dan tidak berpuas hati dengan pelbagai perkembangan yang
ada di kalangan parti pembangkang.
“Ini adalah tragedi yang besar jika kita mengambil kira potensi
peralihan kuasa buat kali pertama sejak merdeka, mentaliti kepembakangan
yang masih tebal menyebabkan kita gagal mengurus perbezaan secara
matang, sekaligus memberikan tanggapan umum seolah-olah kita tidak
bersedia untuk mentadbir," katanya dalam ucapan dasar Kongres Nasional
Angkatan Pemuda Keadilan ke-12 di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam di
sini, hari ini.
Prestasi pembangkang mula merudum selepas Pakatan Rakyat (PR)
dibubarkan pada Jun 2015 ekoran DAP memutuskan hubungan dengan PAS.
DAP dan PAS sering bertelagah kerana parti berteraskan Islam itu mahu melaksanakan undang-undang Islam di Kelantan.
Kemudian pembangkang menubuhkan Pakatan Harapan (PH) pada September
2015 yang disertai PKR, DAP, dan Amanah yang merupakan parti serpihan
PAS.
Krisis dalam parti pembangkang kembali memuncak apabila PAS baru-baru
ini mengambil keputusan untuk memutuskan tahaluf siyasi bersama PKR
seperti yang diumumkan Masjlis Syura Ulama parti itu.
Susulan daripada itu, berlaku desakan daripada pelbagai pihak dalam
pembangkang sendiri yang meminta jawatan Exco yang dipegang oleh
pemimpin PAS di Selangor agar dilepaskan.
AMK sokong Akta 355
Dalam pada itu, mengulas lanjut, pemuda AMK menyokong penuh usul PAS
memperkasa Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa
Jenayah) atau Akta 355 yang berjaya dibentangkan April lepas.
“Pendirian Keadilan dalam memperkasakan Rang Undang-undang mahkamah
Syariah, kita menyokong usaha untuk memperkasa mahkamah syariah dari
segi gaji, kelayakan hakim dan sebagainya tetapi kita ada ‘reservation’
dalam RUU.
Pada sidang Parlimen lalu, Hadi diberi laluan untuk membentangkan
pindaan Akta 355 yang bertujuan untuk menambah kuasa terhadap Mahkamah
Syariah.
Pindaan itu termasuk menaikkan hukuman penjara kepada 30 tahun, denda
tidak melebihi RM100,000 dan maksimum 100 sebatan, berbanding maksimum
penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam kali sebatan yang boleh
dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.
Namun, usul pindaan itu dijangka akan dibahaskan semula pada sidang Parlimen Julai akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan