Oleh Syed Mu'az Syed Putra
SHAH ALAM: Tindakan PKR mengarahkan lantikan politik daripada parti itu
di Kelantan agar melepaskan jawatan diibaratkan sebagai satu kelegaan
besar di peringkat akar umbi PAS, kata Pengarah Pusat Kajian Strategik
Kelantan Dr Wan Nik Wan Yussof.
Beliau berkata demikian kerana akar umbi PAS di Kelantan sudah lama
menantikan perkara tersebut sejak sekian lama bekerjasama dengan anggota
PKR dalam pentadbiran.
"Dari sudut mood ataupun selera ahli-ahli PAS di peringkat akar umbi bergembiralah dengan keputusan itu.
"Lebih gembira lagi bila majlis pimpinan PKR sendiri buat keputusan itu
untuk keluar daripada kerajaan negeri Kelantan bagi mana-mana ahli
lantikan mereka," katanya kepada Antarapos.
Beliau diminta mengulas keputusan PKR yang mengarahkan semua lantikan
politik dari parti itu dalam kerajaan negeri Kelantan melepaskan jawatan
mereka serta-merta sebagai tindak balas daripada keputusan PAS
memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.
Susulan perkara itu PKR Kelantan akan melepaskan semua 75 jawatan yang
disandang wakil mereka dalam pentadbiran kerajaan PAS itu.
Untuk rekod, antara jawatan lantikan politik PKR di Kelantan ialah
seperti Penyelia Dewan Undangan Negeri (DUN), Penyelia Parlimen, ketua
kampung, Ahli Majlis Daerah dan beberapa jawatan melibatkan anak
syarikat kerajaan negeri
Selain itu bekas Ahli Parlimen Bachok ini menambah kerjasama itu telah
menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan akar umbi PAS bahkan turun
membebankan mereka.
"Itulah yang ditunggu-tunggu di peringkat akar umbi sebelum ini pun
kerana sebahagian melihat adanya PKR dalam kerajaan negeri Kelantan pada
masa sebelum ini dianggap sudah tidak selesakan sebahagian ahli PAS.
"Kerana mereka ini sudah berada bersama sejak sekian lama daripada
tahun 1999 lagi menjadi pembantu pembimbing dan kadang-kadang mereka
terpaksa bertindak sebagai ahli PKR semata-mata untuk menghidupkan
cabang atau cawangan PKR di Kelantan," katanya.
Beliau memberitahu, keputusan memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR adalah tindakan paling tepat.
"Jadi dengan keputusan yang ada ini mereka (ahli PAS) puas hatilah
kerana selama ini pun PKR hidup atas inisiatif sama daripada ahli PAS.
"Jadi bila suasana yang berlaku di Selangor mahu pun isu-isu yang telah
dibentangkan secara terbuka dalam muktamar PAS telah banyak menyedarkan
ahli-ahli PAS terutama mereka yang belum tahu perkara yang berlaku di
sebalik isu itu," katanya.
Tambah Wan Nik, ahli PAS akan mempertahankan keputusan memutuskan
hubungan dengan PKR selain akan bertegas apabila melibatkan perkara yang
melanggar perjuangan parti.
"Isu yang dianggap sebelum ini tidak nampak tapi bila didedahkan dengan
bukti-bukti dalam penghujahan usul putus hubungan ramai ahli PAS sudah
tahu bahawa selama ini PKR tidak menghormati sangat tahaluf siyasi yang
dijaga bersama," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan