Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Pemuda PAS Terengganu meminta AMK muhasabah diri dan
menyemak kembali sebab mengapa parti berteraskan Islam itu membuat
keputusan untuk memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR.
Ketuanya, Azman Shapawi Abdul Rani berkata AMK tidak seharusnya
menyalahkan PAS sepenuhnya kerana perkara yang diputuskan oleh pimpinan
tertinggi parti itu mempunyai asas yang kukuh.
"Pemuda PKR sebenarnya tidak boleh mengambil sikap untuk menyalahkan
PAS kerana memutuskan hubungan tahaluf dengan PKR. Sepatutnya pemuda PKR
itu dia perlu muhasabah atau dia selidik sikit tengok tindakan-tindakan
mereka semasa masih tahalauf dengan PAS itu dahulu.
"PAS memutuskan hubungan ini ada hujah dan ada sebab. Jadi saya rasa
pemuda PKR tidak boleh dia nak menyalahkan PAS 100% tetapi dia kena
tengok dulu tindakan yang PKR buat sepanjang tahalauf sejak beberapa
tahun," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Dalam pada itu, Azman turut 'menasihati' AMK yang seharusnya menjadikan
Kongres AMK yang berlangsung semalam itu sebagai titik perbincangan
mengenai hal-hal lebih serius yang melanda parti itu dan bukannya
sebagai medan untuk mengkritik PAS.
"Saya nak rasakan bahawa Kongres ini lebih baik kalau kita bincang
tentang dalaman kita. Kongres ini saya rasa himpunan berbentuk dalaman.
Sepatutnya PKR dalam kongres ini dia lebih membincangkan bagaimana nak
perkasakan parti dia, nak membetulkan kelemahan yang ada kepada parti
dia yang katanya ada terlibat dengan rasuah, terlibat dengan macam-macam
dalam PKR itu sendiri.
"PAS sudah tidak ada kena mengena dengan mereka, PKR. Saya rasa dia
tidak boleh nak ambil sikap menghabiskan masa Kongres dengan menyerang
PAS. Sebab itu tidak memberi apa-apa faedah kepada PKR itu sendiri,"
tambahnya.
Kedua-dua parti itu mula tidak sehaluan ekoran tindakan PKR yang tidak
menghormati PAS sebagai rakan kerjasama, dengan berada sepentas bersama
sekutu politik PAS, iaitu DAP dan Amanah, dan menyerang kepimpinan parti
itu.
Konflik PAS-PKR sampai ke kemuncaknya apabila Majlis Syura Ulama PAS
membuat keputusan menceraikan PKR dengan alasan parti itu banyak
mengkhianati perjanjian kerjasama di antara mereka.
Susulan daripada terputusnya tahaluf siyasi tersebut, berlaku krisis
lain termasuk desakan perletakan jawatan tiga exco PAS di Selangor yang
masih belum diputuskan sehingga hari ini.
PAS walau bagaimanapun masih menunggu keputusan yang bakal dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan