Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Datuk
Seri Anwar Ibrahim semakin resah dalam kamarnya di Penjara Sungai Buloh.
Pemuafakatan politik yang diasaskannya sejak 2008 yang berhasil
menafikan Umno-BN majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat kini goyah.
Kini tinggal secebis harapan untuk Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai
PKR, DAP, PPBM dan Amanah menyelamatkan pemuafakatan pembangkang dan
bagi Anwar ia harus bermula dengan mengelak hubungan PAS dengan PKR,
sekurang-kurangnya, jangan putus.
Yang nampak agak membebankan ialah ramai dalam PKR, termasuk
presidennya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sudah menyambut “cabaran”
PAS mahu putuskan tahaluf siyasi dengan PAS.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Wan Azizah itu mahu menunjukkan
pendirian “pinggan tak retak nasipun tidak dingin” PKR. Mereka melihat
isu kedudukan tiga exco PAS di Selangor sebagai remeh dan “hanya layak”
diselesaikan oleh Azmin sahaja.
Bagaimanapun arahan terbaru Anwar supaya Azmin meneruskan perundingan
dengan PAS ini sudah tentu menyentap pendirian pemimpin PKR yang mungkin
melihat keputusan “lawan” berhabis-habisan dengan PAS sebagai satu
“keputusan yang tepat”.
Malah Anwar sendiri menyatakan bahawa agenda Mahathir mahu menjatuhkan
kerajaan Datuk Seri Najib Razak tidak akan berjaya jika ia bersifat
dendam peribadi dan bukan meliputi konteks reformasi total.
Pun begitu ada banyak dinamika dan maklumat politik mutakhir yang tidak
sampai ke pengetahuan Anwar. Justeru apabila Mahathir menziarahinya di
mahkamah, Anwar pun beralih pandangan dan merestui pimpinan PKR
bekerjasama dengan Mahathir.
Kini Anwar melihat keadaan genting bagi PH. Soal PAS tidak mahu
bekerjasama dengan DAP dan Amanah memang umum sudah maklum. PAS juga
tidak mahu bekerjasama dengan PPBM juga bukan rahsia lagi kerana ia
berkawan dengan DAP dan Amanah.
Anwar mungkin yakin pada mulanya bahawa PAS boleh dipujuk untuk berpadu
tenaga dengan PH demi benar-benar menjatuhkan Najib dan Umno-BN. Namun
Anwar kemudian sedar kali ini PAS amat serius mahu hadapi PRU 14
sendirian. Tanpa PAS, formula ‘satu lawan satu’ sukar dilaksanakan.
Lantas Ketua Umum PKR itu Jumaat lalu mengarahkan Menteri Besar
Selangor, Datuk Seri Azmin Ali meneruskan perbincangan dengan PAS
sebelum memutuskan nasib tiga Exco PAS di Selangor.
"Kita perlu berbincang dan saya telah meminta Azmin untuk meneliti
perkara itu. Saya rasa perbincangan sedang diadakan petang ini
(Jumaat)," katanya.
Anwar berkata demikian ketika di mahkamah mengikuti perbicaraan satu
kes lain. Sebagai anak buah yang taat Azmin terus masuk gelanggang
sejurus tiba dari tugas di luar negara.
"Sebaik saya tiba di KLIA, saya dapat mesej daripada Ketua Umum PKR,
Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dia mahu saya buka pintu rundingan lanjut
(dengan PAS). Saya kena lapor pada Presiden dulu sebelum menyertai mana-
mana rundingan pada masa akan datang.
"Saya juga dimaklumkan PAS mahu bertemu dengan pimpinan PKR dan kita
akan aturkan (pertemuan) itu pada masa yang sesuai," ujar Azmin dalam
sidang medianya selepas merasmikan Kongres Wanita dan AMK peringkat
Nasional ke-12, malam kelmarin.
Bagaimanapun Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
menegaskan parti itu tetap tidak akan menyertai PH sebaliknya sedang
memperkasakan blok pembangkang ke-3 bagi menghadapi PRU14.
Beliau berkata, ada pihak tertentu dalam PH cuba menimbulkan isu
kerjasama PAS dengan Umno bagi “memaksa” PAS menyertai PH kembali.
"Mereka berharap PAS menyertai PH, namun kita tidak akan bersama
mereka. Ini kerana prinsip PAS sering kali ditentang beberapa kumpulan
dalam pakatan itu," katanya
Tuan Ibrahim juga membidas pemimpin tertentu dalam PH yang menuduh PAS
bekerjasama dengan Umno untuk menghadapi PRU14 termasuk berhubung isu
pengagihan kerusi untuk ditandingi.
"Sebagai pemimpin, kalau kita percaya dengan maklumat yang dikutip di
tepi jalan maka tidak layaklah menjadi pemimpin. Sepatutnya mereka
mendapatkan maklumat yang betul," katanya.
Baru-baru ini Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa kononnya
PAS mungkin mencapai kata sepakat dengan Umno untuk tidak melawan satu
sama lain di kerusi sama pada Pilihan Raya Umum yang akan datang.
Muhyiddin berkata, tindakan PAS itu membuktikan pendirian mereka sama ada berdiri atas blok ketiga ataupun bersama dengan Umno.
Kini masalah PH ini terletak di bahu Azmin. Beliau perlu “membawa”
kembali PAS ke dalam PH. Namun adakah beliau akan mendapat sokongan
daripada pimpinan komponen PH lain?
Selain itu, tuduhan yang dilemparkan oleh Naib Presiden PKY, Rafizi
Ramli bahawa pemimpin PAS menerima dana jutaan ringgit daripada anak
syarikat 1Mdb masih terngiang di benak pemimpin ahli dan pemimpin PAS.
Ini juga pasti memayahkan usaha Azmin.
Soal tiada keselarasan pemikiran di antara Azmin dengan beberapa
pemimpin PKR bukan lagi satu rahsia. Azmin pun maklum hakikat ini. Belum
pun beliau melaksanakan arahan terbaharu Ketua Umum PKR, Azmin sudah
membayangkan cabaran yang bakal dihadapi:
"Semenjak akhir-akhir ni ada individu dan kumpulan kembiri politik yang
dengki dan cemburu dengan kejayaan Selangor dan cuba melemahkan
pencapaian kestabilan negeri.
Mereka melempar fitnah, dikutip oleh media, mencipta polemik dan provokasi.
"Saya mengajak perwakilan, kita persetankan kembiri politik ini. AMK
dan Wanita Keadilan mesti bersama mempertahankan kubu kita.
"Ingat, mereka berdepan dengan Azmin Ali dan Keadilan. Mana-mana pihak
sama ada individu atau kumpulan yang cuba gugat kestabilan Selangor,
mereka adalah pengkhianat amanah rakyat.
Dalam pada itu, Azmin menegaskan bahawa krisis yang melanda kerajaan
Selangor pimpinan PKR mutakhir ini tidak akan membuatkan parti itu
tunduk kepada pihak lawan.
"Krisis tak semestinya masalah tapi krisis adalah peluang Keadilan
untuk muncul sebagai pemimpin masa depan.. namun dalam masa sama
Keadilan tak akan benarkan mana-mana pihak sama ada parti politik atau
individu untuk memeras ugut parti kita.
"Kita akan lawan mereka habis-habisan," katanya. Sementara itu, Anwar
Ibrahim cuma boleh menanti dengan penuh debaran dari sudut kamar besin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan