BERILAH peluang kepada rakyat Malaysia untuk
membangunkan Bandar Malaysia. Negara sudah merdeka hampir 60 tahun,
mustahil tidak ada kontraktor yang berwibawa untuk membangunkan Bandar
Malaysia. Ada hikmah juga selepas pembatalan perjanjian melibatkan
konsortium Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan China Railway
Engineering Corp (CREC) bagi memiliki 60 peratus pegangan di Bandar
Malaysia.
Setelah perjanjian dengan syarikat asal dibatalkan, maka kerajaan
pula bersetuju untuk bekerjasama dengan Kumpulan Wanda dari China untuk
membangunkan Bandar Malaysia.
Harapan daripada Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk
Mokhtar Samad yang percaya bahawa kontraktor bumiputera juga layak
menjadi pemaju induk jika kena dengan syarat dan proses pemilihan yang
telah ditetapkan perlu diambil perhatian oleh DS Najib. Setakat mana
ajaibnya bandar idaman DS Najib Tun Razak sehingga tidak nampak
seolah-olah kontraktor tempatan tidak boleh laksanakan.
Kita tidak mahu kontraktor dan syarikat tempatan tidak dapat apa-apa
manfaat, bukan sekadar tulang, kuah pun tidak dapat. Apa makna
pembangunan, jika kera di hutan disusukan anak dikendong keciciran.
Trend yang berlaku pada hari ini, negara lebih banyak bergantung
kepada pelabur daripada negara China. Ini membuktikan siapa yang ada
wang boleh kuasai dunia. Apa boleh buat negara yang ditadbir pemerintah
yang sejak dahulu tidak beringat sewaktu kaya, akhirnya generasi kita
terpaksa menanggung beban. Apalah hendak diharapkan sangat untuk
meletakkan syarat kepada pelabur bagi menjaga kepentingan rakyat
tempatan. Itupun kalau mereka sudi untuk menerima permohonan kita supaya
menjaga kepentingan syarikat tempatan. Mereka boleh buat apa sahaja,
kerana mereka ada wang. Mereka tahu kita amat memerlukan mereka, kerana
kita tidak ada wang. Akhirnya syarikat tempatan mengemis di negara
sendiri.
USTAZ IDRIS AHMADNaib Presiden PAS / Ahli Parlimen Bukit Gantang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan