SHAH ALAM: Datuk Seri Azmin Ali harus bijak memilih sama ada mahu
berperanan sebagai Menteri Besar Selangor atau Timbalan Presiden PKR
dalam isu keceluparan ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim menegur sultan negeri
itu.
Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail berkata, Azmin
langsung tidak bersikap tegas dalam mempertahankan Sultan Sharafuddin
Idris Shah yang ditegur Zaid di laman mikro Twitternya baru-baru ini.
"Azmin sebagai pemimpin utama di negeri itu sepatutnya berusaha
menunjukkan beliau tegas dalam berhadapan dengan ahli DAP seperti Zaid.
Tapi itu tidak berlaku, kerana Azmin seolah-olah mengutamakan politik
dengan DAP.
"Azmin gagal melihat keutamaan sebagai menteri besar. Azmin sepatutnya
bijak untuk mengetahui di mana beliau patut meletakkan dirinya, sama ada
sebagai menteri besar atau pemimpin PKR yang bersekutu dengan DAP,"
kata Zain dipetik dalam ruangan Catatan Zein Isma menerusi akhbar Utusan
Malaysia, hari ini.
Zaid terdahulu menulis 'Sultan Selangor seharusnya lebih berhati-hati
dengan kata-katanya. Tidak ada sesiapa kebal apabila negara terbakar'.
Beliau bertindak demikian sejurus Sultan Selangor menegur bekas Perdana
Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempersendakan keturunan Bugis -
hanya kerana mahu mensasarkan musuh ketatnya, penggantinya kini, Datuk
Seri Najib Razak.
Baginda juga menegur pihak tertentu yang kerap menggunakan isu-isu
sensitif untuk meraih sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14).
Zein kemudiannya bertegas, isu kebiadapan Zaid bukan isu politik namun ia adalah perihal institusi Istana dihina.
"Azmin sepatutnya dilihat bertegas dalam soal itu dan bukannya dilihat
berlapik semata-mata memikirkan kesan hubungan politik DAP.
"Azmin tahu kalau beliau bersuara keras terhadap Zaid mahu tidak mahu
ia sedikit sebanyak akan menjejaskan hubungan PKR dengan DAP apatah lagi
DAP bagaikan 'memegang nyawa' politik pentadbiran PKR di Selangor,"
katanya.
Semalam, Zaid dipanggil ke Balai Polis Bukit Aman untuk memberikan keterangan bersabit kenyataanya itu.
"Ramai yang berkata saya ingin menghasut, kurang ajar dan biadap. Tapi
bila kita bercakap tentang Raja Berpelembagaan, kita perlu cakap benar.
"Kita menerangkan konsep sebenar Raja Berpelembagaan iaitu raja tidak
boleh memihak kerana ia menjadikan pihak satu lagi akan jadi tidak
percaya," kata Zaid.
Zaid bagaimanapun enggan menjawab soalan pemberita sama ada beliau akan memohon maaf kepada Sultan Selangor ataupun tidak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan