HALAMAN SANTAI

Sabtu, 23 Disember 2017

Kumpulan Felda berkait PAS mahu campurtangan Agong, RCI dalam isu Jalan Semarak

 
Pertubuhan Generasi juga mendesak Najib Razak meletak jawatan sambil menuduhnya mengkhianati legasi bapanya.


Roslan-Md-Isa-felda-jalan-semarak

PETALING JAYA: Sebuah pertubuhan memperjuangkan isu warga Felda yang rapat dengan PAS berharap campurtangan Agong dalam kes melibatkan agensi itu, di samping menggesa perdana menteri meletak jawatan.

Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi) turut menuduh Datuk Seri Najib Razak mengkhianati legasi bapanya memajukan Felda.

“Jika perdana menteri bermaruah, maka bukan setakat rehat tapi letak jawatan,” kata Presiden Generasi, Roslan Md Isa.

“Ini soal pengkhianatan dan melibatkan maruah. Pengkhianatan legasi ayahandanya, pengkhianatan amanah Felda dan khususnya pada bangsa Melayu,” katanya kepada FMT.

Roslan juga berkata tidak cukup pihak polis menubuhkan pasukan khas dalam menyiasat dakwaan Felda hilang hak milik tanah di Jalan Semarak Kuala Lumpur.

Sebaliknya, beliau berkata hanya sebuah suruhanjaya siasatan diraja (RCI) boleh merungkai apa yang berlaku.

Malah beliau turut menolak penglibatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Siapa polis nak siasat perdana menteri? Siapa SPRM nak siasat perdana menteri? Mesti badan bebas,” katanya, dan menambah pendirian itu kerana “kadang-kadang siasatan itu sangat meragukan”.

“Ia mesti disiasat oleh badan bebas yang dilantik langsung di bawah raja. Siasatan mesti bebas, jika tidak, ia tetap diragui.”

Menurutnya, kontroversi terkini melibatkan Felda mesti diambil serius, dan merayu campurtangan Agong kerana melibatkan kepentingan negara yang menurutnya dikhianati “jerung-jerung besar”.

Semalam, polis mengumumkan pasukan khas untuk menyiasat kes Felda kehilangan hak ke atas tanahnya di Jalan Semarak, seperti dilaporkan Berita Harian.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan, iaitu penipuan serta pemalsuan dokumen.

Akhbar itu melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik bernilai RM270 juta itu, susulan urusan pindah milik tanah yang mencurigakan pada 2015.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, Felda bersedia mengambil segala bentuk tindakan bagi mendapatkan semula hak ke atas tanah itu, termasuk membuat laporan polis pada 12 Disember lalu.

Roslan bagaimanapun berkata pihaknya tidak meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada Shahrir.

“Bagi saya, Shahrir mesti bagi kerjasama terbaik. Kes ini berlaku sebelum dia datang dan memimpin Felda. Pembaharuan yang ingin beliau lakukan, saya hargai.

“Namun dia ibarat menggalas biawak hidup,” katanya sambil menuduh Umno “merosakkan Felda”.

“Petualang yang melingkupkan Felda mesti dihukum, bukan hanya wayang kerana pilihan raya umum sudah hampir.”

Tiada ulasan: