SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan
rasa dukacita dengan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menentang
Umno, sedangkan parti itu memberi kuasa kepadanya menjadi perdana
menteri paling lama memerintah Malaysia.
Dalam wawancara bersama akhbar The Star, baginda bertitah, kesemua
sembilan orang Raja-Raja Melayu turut berdukacita dengan Mahathir
semenjak bekas perdana menteri itu kembali aktif dalam politik.
“Untuk membina nama baik sangat sukar, untuk memusnahkannya sangat
senang. Mahathir berada di sana selama 22 tahun, bukan atas usahanya
sendiri.
“Parti yang meletakkannya di sana dan kini dia mahu musnahkan parti.
“Dia fikir (tempoh pentadbiran selama) 22 tahu itu cukup besar. Dia
tidak mahu ada perdana menteri lain yang lebih baik dan dia cuba menekan
mereka. Sebab itu saya kata dia ada (sindrom) inferiority complex,”
titah baginda seperti dilaporkan akhbar berbahasa Inggeris itu.
Dr Mahathir pada tahun lalu menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selepas mengumumkan keluar Umno.
Parti terajunya itu kemudian menyertai gabungan pembangkang, Pakatan
Harapan (PH) bersama DAP, PKR dan Amanah. Beliau turut dilantik menjadi
Pengerusi kepada gabungan berkenaan.
Sejak bersama PH, Dr Mahathir semakin lantang mengkritik Perdana
Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan menyasarkan Presiden Umno itu
ekoran dakwaan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam himpunan anti-kleptokrasi pada Oktober lalu, Dr Mahathir
menggelar Najib 'berketurunan lanun Bugis' dan memintanya pulang ke
negara asalnya.
Kenyataan berkenaan turut mengundang kemurkaan Sultan Sharafuddin kerana baginda juga berketurunan Bugis.
“Saya sedang dalam perjalanan menunaikan umrah apabila diberitahu mengenai kenyataan itu.
“Saya tidak bertindak membuta-tuli. Saya tunggu hingga kembali dan
bercakap dengan pelbagai pihak yang ada di sana dan tahu apa sebenarnya
yang berlaku," katanya.
Sementara itu dalam wawancara bersama Utusan Malaysia, baginda menyeru
semua parti politik supaya tidak membangkitkan isu provokasi berkaitan
kaum dan agama kerana ia boleh memecah-belahkan rakyat.
"Apa yang harus diutamakan ialah keharmonian rakyat. Kita tak mahu
rakyat bertelagah sesama sendiri hanya kerana ada pihak berkepentingan
yang jadi 'batu api' semata-mata ingin meraih undi.
"Akhirnya nanti, orang Melayu sebagai kaum majoriti di negara ini yang
rugi kerana penyatuan dalam kalangan orang Melayu ketika ini masih
rapuh.
"Apa saja isu sensitif yang dipolitikkan boleh menyebabkan penyatuan orang Melayu terus terganggu," titah baginda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan