HALAMAN SANTAI

Ahad, 18 Februari 2018

Siapa terima manfaat dari pertemuan NGO-mufti, soal aktivis transgender



Nisha-Ayub

PETALING JAYA: Seorang aktivis transgender mempersoalkan motif sebalik pertemuan antara sebuah badan bukan kerajaan dan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Zulkifli Mohamad.

Nisha Ayub bertanya adakah mesyuarat itu untuk memahami keperluan masyarakat transgender atau untuk jabatan agama Wilayah Persekutuan menentukan golongan transgender menjadi apa.

“Saya percaya sebarang perbincangan antara 2 pihak ialah langkah yang sihat, kerana ia juga memperakui usaha mufti mendekati masyarakat transgender.

“Bagaimanapun, apakah penerimaan masyarakat transgender itu berdasarkan pada tafsiran pihak berkuasa agama atau berdasarkan keinginan masyarakat transgender itu sendiri?” katanya.

Nisha berkata keraguan itu berdasarkan pengalaman peribadi, di mana beliau memerhatikan pihak berkuasa agama di sini sentiasa merasakan mereka tahu apa yang terbaik untuk masyarakat transgender.

“Jadi, perbincangan itu memberi manfaat pada masyarakat transgender atau memberi manfaat pada pihak berkuasa agama?”

Beliau berkata hak LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) tidak boleh dikaitkan dengan agama atau kepercayaan peribadi lain.

“LGBT satu isu yang harus dilihat dari sudut perubatan. Di seluruh dunia, transgenderisme diiktraif sebagai isu kesihatan.

“Bagaimanapun, kerana keadaan semasa di negara kita, semuanya dikaitkan dengan agama, termasuk politik,” kata Nisha.

Pertemuan terbaharu antara sebuah NGO dan mufti Wilayah Persekutuan dikatakan sebahagian daripada usaha untuk mempromosikan kefahaman dan menghentikan diskriminasi terhadap masyarakat transgender.

Pertubuhan Kesihatan dan Kebajikan Malaysia (PKKUM) berkata perbincangan antara aktivis transgender dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan awal minggu ini mengukuhkan hubungan antara masyarakat transgender dan pihak berkuasa agama.

Perbincangan itu berlaku selepas Zulkifli menyatakan minat membantu mereka.

Pengasas PKKUM, Elisha Nor Krishnan berkata, pertemuan itu membincangkan keperluan mengalakkan kajian Al-Quran dan hadis agar masyarakat celik isu transgender.

Nisha mencadangkan penyertaan semua kumpulan yang mewakili masyarakat transgender jika ada iltizam untuk lebih mengenali komuniti LGBT.

“Kalau mufti mahu bertemu, dia perlu libakan semua orang dalam senarai (mereka yang bukan lagi transgender dan masih transgender) supaya hasilnya menjadi seimbang. Kalau ada pandangan dari semua pihak dalam perbincangan itu, hasilnya akan lebih berkesan,” katanya.

Sementara itu, Nisha berkata isu transgender sudah menjadi alat politik dan akibatnya sesetengah pihak menjadikannya isu agama.

Beliau menambah tiada masalah dengan masyarakat transgender pada 1980-an.

“Dari segi penerimaan atau undang-undang, saya mahu rujuk kembali pada 80-an. Mari kita perhatikan apa yang dilakukan ketika itu yang tidak memberikan masalah dan bandingkan dengan apa yang sedang berlaku sekarang ini kepada masyarakat transgender.”


Tiada ulasan: