Ia tidak mengatasi masalah berita tidak benar melainkan mengenakan hukuman yang lebih berat.
Peguam
berkata RUU itu tidak menambah nilai kepada undang-undang sedia ada
seperti Kanun Keseksaan, Akta Hasutan dan Akta Fitnah.
PETALING JAYA: Seorang peguam hak asasi manusia mempersoal Rang
Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 dan berkata ia tidak
mengatasi masalah berita tidak benar melainkan mengenakan hukuman yang
lebih berat.
New Sin Yew berkata selain daripada menambah hukuman bagi berita
tidak benar, rang undang-undang itu tidak menambah nilai kepada
undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 dan
Akta Fitnah 1957.
“Kita mempunyai undang-undang yang mencukupi bagi menangani kes laporan atau maklumat palsu yang disebarkan.
“Wujud terlalu banyak pertindihan dalam undang-undang kita. RUU
antiberita palsu ini tidak banyak mengubah keadaan dari segi pendakwaan
kerana ia masih memerlukan kes dirujuk ke mahkamah.
“Masalah dengan rujukan kes ke mahkamah ialah ia proses yang perlahan
dan mahal. Akta Fitnah memang hadapi masalah ini, begitu juga Akta
Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Selain itu wujud isu untuk menentukan apakah yang benar kerana mahkamah tertakluk kepada keterangan yang ada sahaja.
“Masalahnya tiada pihak yang memonopoli ‘kebenaran’,” kata New.
“Berita palsu memang masalah tetapi cara kerajaan menanganinya
bersifat feudal. Ini percubaan yang salah dalam usaha menyekat masalah
sebenar.”
Berhubung keadaan di Malaysia berbanding negara lain dalam konteks
undang-undang antiberita palsu seperti Jerman, New berkata keadaannya
berbeza.
“Di Jerman, kerajaan mengenakan tanggungjawab menangani penerbitan
yang palsu ke atas pemilik media sosial. Selepas sejumlah aduan diterima
oleh pemilik media sosial, maka syarikat perlu mengatasinya.
“Kerajaan (Jerman) juga memberi kuasa kepada laman dan komuniti media
sosial bertindak ke atas berita palsu, tetapi ciri itu tidak ada di
sini.”
New berkata, menyekat kebebasan bersuara dan pengucapan adalah tidak
produktif berbanding tujuan yang mahu dicapai kerajaan dalam penggubalan
undang-undang antiberita palsu itu.
Peguam Eric Paulsen memberitahu FMT, di Jerman keadaannya berbeza
sama sekali kerana ia menghendaki pengendali media sosial memadamkan
bahan serta tulisan tidak sah dan ungkapan kebencian.
“Konteksnya berbeza. Di Jerman wujud kempen berita palsu terhadap
migran dan peminta suaka yang menuduh mereka melakukan jenayah rogol,
sedangkan ia tuduhan palsu.
“Selain itu, di Jerman, Perancis dan Amerika Syarikat, wujud kempen
canggih oleh entiti milik kerajaan dan Rusia bagi menyebarkan salah
maklumat, sekali gus menggugat demokrasi di negara berkenaan.
“Keadaan itu tidak berlaku di Malaysia, dan jika berlaku penyebaran
salah maklumat di sini, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
mempunyai cukup kuasa untuk menanganinya bawah undang-undang sedia ada.
Paulsen juga membuat perbandingan dengan Presiden Perancis, Emmanuel
Macron yang mengumumkan rancangan menggubal undang-undang baru bagi
memerangi berita palsu dan “propaganda” di media sosial, Januari lepas.
Sebagai mangsa berita palsu semasa pilihan raya tahun lepas, Macron
dilaporkan berkata, undang-undang baru itu akan membolehkan tindakan
segera diambil ke atas berita palsu semasa tempoh pilihan raya, yang
memberi kuasa kepada hakim untuk memadamkan kandungan, menutup akaun
atau menghalang akses ke laman web berkaitan.
“Bezanya, Macron mangsa yang sebenar. Di Malaysia, kerajaan akan
menggunakan undang-undang yang ‘kabur’ (RUU Antiberita Tidak Benar)
untuk menyasarkan berita yang tidak disukai dengan menuduhnya berita
palsu.
“Pihak berkuasa diberi kuasa untuk bertindak, menangkap, menahan,
merampas telefon mudah alih dan komputer, malah mendakwa seseorang di
mahkamah.
“Kemudian mereka (kerajaan) akan berkata, kita serahkan kepada keputusan mahkamah, seolah-olah ia adil,” kata Paulsen.
Sebelum berlangsung pilihan raya Jerman pada September 2017, kerajaan
meluluskan Akta Penguatkuasaan Rangkaian (NetzDG) pada Jun tahun yang
sama, yang menumpu kepada jenayah kebencian dan berita palsu.
NetzDG ditujukan kepada “kandungan tidak sah” berkaitan kesalahan
seperti menyebarkan maklumat yang dipalsukan atau menyatakan fakta tidak
benar yang boleh menggugat keselamatan luar Jerman atau hubungan
diplomatiknya.
Ia menghendaki platform media sosial utama seperti Facebook, Twitter
dan Youtube mengadakan prosedur bagi membuang atau menyekat akses kepada
kandungan yang jelas tidak sah dalam tempoh 24 jam selepas aduan dibuat
atau dalam tempoh 7 hari bagi semua kandungan tidak sah, tertakluk
kepada keadaan tertentu.
RUU Antiberita Tidak Benar 2018 dibentangkan di Parlimen Isnin lepas.
Di bawah undang-undang ini adalah menjadi kesalahan untuk membuat, menawarkan, menerbitkan dan menyebarkan berita palsu.
Ia juga menjadi kesalahan untuk memberikan sokongan kewangan secara
langsung atau tidak langsung bagi membantu menyebarkan berita palsu atau
bersubahahat dalam kesalahan itu.
RUU itu mentakrifkan berita tidak benar sebagai apa-apa berita,
maklumat, data atau laporan yang sepenuh atau sebahagiannya tidak benar,
sama ada dalam bentuk tulisan, visual, rakaman audio atau apa-apa
bentuk lain yang berupaya mencadangkan perkataan atau idea.