HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Mac 2018

Zahid: Rakyat harus sokong RUU Antiberita Tidak Benar

Gambar Twitter


JOHOR BAHRU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta rakyat menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat, Isnin lalu.

Ahmad Zahid yang juga menteri dalam negeri, berkata orang jujur sudah tentu menyokong RUU tersebut kerana berita palsu menyusahkan rakyat, menghina dan merosakkan masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Himpunan Sukarelawan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) & Trust@Teras Johor di pekarangan Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmad malam tadi.

Hadir sama ialah isteri beliau, Datin Seri Hamidah Khamis, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN, meminta pengundi kawasan Parlimen Pulai supaya tidak mendengar dakyah pembangkang dan terus memberikan sokongan kepada BN dan Nur Jazlan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau turut meminta pengundi di kawasan itu menaikkan semula majoriti kemenangan kerusi Parlimen Pulai dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas serta merampas kerusi DUN Perling.

Pada PRU13, Nur Jazlan mengalahkan calon PAS, Salahuddin Ayub dengan majoriti 3, 226 undi.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut meluluskan peruntukan lebih RM5.5 juta kepada Parlimen Pulai bagi melaksanakan beberapa projek rakyat antaranya membina baharu masjid Taman Kempas (RM2.5 juta), membina bumbung di antara kedai Jalan Tan Hiok Nee dan Jalan Pahang bagi Pusat Kebudayaan Persekutuan Tiong Hua Johor (RM3 juta).

Juga, untuk menggantikan baru krematorium milik Kuil Arulmigu Rajamariaman di tanah perkuburan India, Jalan Kebun Teh (RM600,000).

Selain itu, RM2.4 juta diberikan bagi Program Sentuhan Rakyat yang meliputi dana bantuan bencana, dana pesakit kronik dan program barangan dapur serta RM500,000 lagi bagi melaksanakan program Kepolisan Komuniti di kawasan perumahan.

Tiada ulasan: