HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Mac 2018

Pola pengundi Melayu Felda sukar berubah?



Pola pengundi Melayu Felda sukar berubah?



Walaupun rata-rata siri Jelajah Felda anjuran Pakatan Harapan (PH) menyaksikan kehadiran ribuan warga tanah rancangan itu tetapi sejauhmana segmen pengundi terbabit menterjemahkan sokongan kepada kertas undi masih menimbulkan persoalan.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berpendapat, pola pengundian warga Felda masih menimbulkan tanya tanya walaupun masyarakat itu dilihat semakin terbuka kepada PH.

“Adakah mereka boleh menterjemah undi di kertas dengan memangkah kepada Pakatan Harapan?
Persoalanya, pola (pengundi) Melayu ini, mereka sebenarnya sukar melakukan perubahan.

“Walaupun pihak PH melihat seakan-akan wujud gelombang tsunami Melayu tetapi apabila kita turun ke bawah, ya, ada perubahan tetapi memerlukan darjah perubahan yang besar,” katanya pada forum ‘PRU-14 Bakal Dicuri?’ di Kuala Lumpur malam tadi.

Jelasnya, cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya dan pertembungan tiga penjuru dilihat akan menyukarkan PH mendapat sokongan pengundi Melayu.

“Mereka masih tidak menunjukan sokongan yang bercanggah dengan undi tradisi sebelum ini walaupun orang Umno sendiri mengaku Najib memberi liabiti kepada oranmg Melayu.

“Sikap pengundi Melayu agak sukar berubah dan pertembungan tiga penjuru memberi manfaat besar kepada parti pemerintah,” tambah Hisomuddin lagi dalam forum anjuran Bersih itu.


Antara warga Felda Selendang 1, Rompin yang hadir mengikuti Ceramah Khas Pakatan Harapan, bulan lalu.

Untuk rekod, daftar pengundi baharu menjelang PRU-14 ini menunjukkan terdapat kira-kira 570,000 pengundi terdiri daripada warga Felda di seluruh negara.

Lima Parlimen yang mempunyai pengundi Felda tertinggi adalah Jempol, Kuala Krau, Rompin, Kota Tinggi dan Pengerang dengan kesemuanya kecuali Rompin diperuntukkan kepada PPBM pada PRU-14.

PKR diputuskan akan bertanding di Rompin yang pada masa ini disandang oleh BN dengan majoriti 8,896 undi pada pilihan raya umum lalu.

BN pada PRU-13 lalu hanya tewas dua kerusi Parlimen Felda iaitu di Raub dan Dungun masing-masing kepada DAP dan Pas.

Di Raub, calon DAP menang dengan majoriti 2,814 undi manakala calon Pas di Dungun menang 3,942 undi majoriti.

Rata-rata warga Felda mengeluh dengan kegagalan anak syarikat Felda iaitu Felda Technoplant Sdn. Bhd. (FTP) menguruskan kebun serta pada masa sama ditimbuni dengan pelbagai jenis hutang mencecah ratusan ribu ringgit.

Pola cadangan pindaan pesempadanan kawasan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat penganalisis politik sebagai memanjangkan jangka hayat BN termasuk memanipulasi pengundi Felda.

PH dan NGO juga mengkritik syor persempadanan semula menjelang PRU-14 ini lantaran pembahagian pengundi tidak sekata apabila mengelompokkan pengundi mengikut kaum.

Di Parlimen Sembrong misalnya, pengundi Felda Kahang Barat dicadang untuk dimasukkan ke Dewan Undangan Negeri (Paloh) yang menyaksikan DAP kalah tipis hanya 103 undi pada pilihan raya lalu.

Kali terakhir kajian semula persempadanan baharu mula dikuatkuasakan pada 2 Mei 2003 yang kemudiannya menyaksikan BN menang besar pada Pilihan Raya Umum 2004.

PRU-14 merupakan pemilihan kali kedua bagi Najib Razak sejak menjadi Perdana Menteri pada 3 April 2009.

Tiada ulasan: