HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Mac 2018

Faktor Usia Dr. M Mula Diperkatakan

 
 


KUALA LUMPUR – Keberanian Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff membuka fakta mengenai kemampuan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjadi Perdana Menteri pada usia 93 tahun telah mencuri perhatian dalam media sosial.

Meskipun terdapat golongan yang mencerca Kamarul menerusi laman media sosial namun banyak juga persoalan ditimbulkan mengenai faktor usia calon Perdana Menteri Pakatan Harapan yang diketuai DAP itu berikutan hampir mencecah satu abad.

Malah, kenyataan yang dibuat Kamarul mengenai faktor usia Dr. Mahathir itu telah menarik lebih 4,000 ‘Like’ dalam laman Facebook selain 2,000 perkongsian.

Menurut seorang pengguna Facebook, Aidil Khalid, semua pihak sewajarnya memberi perhatian kepada fakta-fakta yang dibentangkan oleh Kamarul dan bukan memperlekehkannya.

“Kebenaran atau kebatilan akan sesuatu itu tidak tergantung kepada kefasihan atau kegugupan penyampainya, sebaliknya bergantung kepada intipati akan apa yang akan disampaikannya,” kata Aidil.

Sementara itu, seorang netizen yang menggunakan nama Helmi Effendy II berkata, topik perbahasan dalam forum mengenai usia Dr. Mahathir yang disertai Kamarul semalam telah dilarikan menerusi gimik bekas Perdana Menteri itu membuat kemunculan mengejut dalam forum berkenaan.

“Tun M (Dr. Mahathir) cukup tuakah untuk menggapai jawatan Perdana Menteri yang digariskan oleh Dr. Kamarul dengan senarai kayu ukurnya? Sayang… core (teras) kepada perbahasan ini hilang terus,” katanya seperti dipetik dalam laman Facebook miliknya.

Kamarul Zaman ketika forum tersebut menggariskan 10 kayu ukur untuk menentukan kemampuan Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri pada usia 93 tahun, iaitu perundangan, fizikal, genetik, mental, psikologi, moral, demografik, intelektual, falsafah dan semangat.

Menurut beliau, Dr. Mahathir hanya berkemampuan dalam satu aspek, iaitu perundangan. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: