KEADILAN DAILY
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamad Azmin Ali menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) agar melonggarkan syarat pinjaman untuk membeli rumah pertama.
Menurutnya, Selangor sendiri menjual rumah dengan harga di bawah RM200,000 namun ramai berdepan kesukaran mendapatkan pinjaman bank untuk membeli rumah pertama mereka.
“Statistik membuktikan 70 peratus daripada jumlah Rumah Selangorku di Selangor di bawah RM200,000. Ini statistik, angka tidak pernah berbohong.
“Isu sekarang bukan jumlah rumah yang mahu dibina. Isunya peminjam tidak mendapat pinjaman daripada bank kerana kawalan kredit yang dikenakan Bank Negara terlalu ketat ekoran hutang isi rumah negara kita.
“Maka Bank Negara perlu membantu melonggarkan dasar ini supaya pembeli rumah pertama dapat memiliki rumah,” katanya kepada media selepas pelancaran Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) di Pusat Konvensyen Sunway Piramid, semalam.
Katanya, Selangor berjaya membina 25,000 buah rumah walaupun sasaran awal hanyalah sekitar 15,000.
Sementara itu, Azmin yang juga timbalan presiden KEADILAN mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar turut membina rumah mampu milik di bawah harga RM200,000 seperti dilakukan Selangor.
“Di Selangor walaupun harga tanah di Lembah Klang mahal tetapi kita berjaya kawal harga rumah di bawah RM250,000.
“Saya cabar perdana menteri bina rumah mampu milik di Kuala Lumpur atau Pahang di bawah RM200,000. Mereka tidak boleh,” katanya memetik Selangorkini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan