Oleh Syed Mu'az Syed Putra
SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) perlu bekerja keras dan memenangi lebih
banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sekali gus
menumbangkan pentadbiran PAS sejak 28 tahun lepas, sekiranya
menginginkan jawatan Menteri Besar Kelantan.
ADUN Chempaka, Ahmad Fathan Mahmod berkata demikian mengulas tindakan
parti serpihannya Amanah yang juga parti komponen PH, menamakan bekas
Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa sebagai calon menteri besar.
"Mereka nak namakan calon Menteri besar itu terpulanglah tapi bagaimana belum menang lagi sudah letak nama?
"Sekarang ini mereka nak cadangkan sesiapa terpulanglah cuma dari sudut
sekarang ini lebih elok ditunjukkan komitmen dari sudut pencapaian atau
sasaran PH untuk pilihan raya ini berapa yang mereka boleh dapat?,"
katanya kepada Antarapos.
Sebelum ini dilaporkan Husam yang ADUN Salor merupakan antara empat
calon untuk menjadi Menteri Besar Kelantan jika PH memenangi PRU14.
Selain Husam, tiga calon lain adalah Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Ab
Kadir; Naib Pengerusi Parti Amanah Kelantan, Datuk Dr Ab Halim Yusof
dan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Kota Bharu, Tan
Sri Ab Rashid Ab Rahman.
Sumber PH Kelantan berkata, Husam yang dianggap calon paling popular
kerana pernah menjadi naib presiden PAS sebelum ini berdepan masalah
kerana terpalit kontroversi dengan Istana.
Malah Ahmad Fathan memberi bayangan bahawa kemungkinan PH akan
mengambil alih pentadbiran negeri Kelantan daripada PAS sukar untuk
dicapai selepas gagal menangani masalah dalaman komponennya.
"Perkara-perkara ini sedikit sebanyak menjejaskan mereka punya impian sebab bagi saya PPBM masih belum ada rekod pencapaian.
"Mereka masih baru (Amanah dan PPBM), jadi tiada rekod pencapaian
mereka di mana-mana lagi dan untuk mereka bercakap jawatan Menteri Besar
ini belum lagi sesuailah," katanya.
Ini kerana jelas beliau, kedudukan semasa PH pada masa ini adalah jelas
masih berdepan masalah dalaman parti komponennya selain gabungan itu
yang dianggotai dua parti baru tiada kekuatan dan rekod khidmat di
negeri tersebut.
"Dari sudut calon kita tak pertikai sebab sekarang ini kalau ikut
peraturan mana-mana parti yang menang boleh mencadangkan sesiapa yang
mereka nak calonkan sebagai Menteri Besar.
"Maknanya dari sudut kelayakan, pendidikan, pengalaman dan sebagainya dari sudut parti kita lihat tiada masalah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan