HALAMAN SANTAI
Khamis, 29 Mac 2018
Peniaga, pekerja didenda RM72,000 gagal sahkan data pengguna akhir
SEPANG: Seorang peniaga dan pekerjanya baru-baru ini menjadi 2 individu pertama yang didakwa dan dijatuhi hukuman denda atas kesalahan mendaftarkan kad sim tanpa membuat pengesahan data maklumat yang sah milik pengguna akhir terlebih dahulu.
Tertuduh, Chee Han Hing, 38 tahun mengaku bersalah atas 18 pertuduhan dan dijatuhi hukuman denda sebanyak RM3,000 untuk setiap pertuduhan yang dimaksudkan.
Manakala, pekerjanya pula, Tan Shi Wei, 26 tahun turut mengaku bersalah atas 18 pertuduhan yang dilakukannya dan dijatuhi denda sebanyak RM1,000 untuk setiap pertuduhan berkenaan, menjadikan jumlah keseluruhan denda yang dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh sebanyak RM72,000.
Kedua-dua tertuduh didakwa membuat capaian kepada kandungan komputer iaitu sistem “Multi-Channel Portal” atau MCP dan menyebabkan pengubahsuaian tanpa kuasa ke atas kandungan sistem MCP itu di CW Teleshop, 68, Jalan Sultan Alam Shah, Banting, Selangor.
Mereka didakwa mengikut seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 7 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya MCMC, Mohd Sophian Zakaria.
Sebelum ini, pada awal Januari yang lalu, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan yang sama.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan