HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Mac 2018

Kelapa sawit minyak sayuran paling kontroversi di dunia

 
Pegawai industri berkata, dalam usaha menjadikan industri itu lebih mesra alam sekitar dan beretika, kebanyakan pekebun kecil dilupakan.




KUALA LUMPUR: Sejak sedekad lalu, tekanan daripada kumpulan pengguna dan pencinta alam sekitar memaksa syarikat besar yang mengeluarkan, mendagangkan atau membeli minyak sawit untuk menangani penganiayaan buruh di ladang dan menamatkan pemusnahan hutan yang menyumbang kepada perubahan iklim.

Tetapi, kebanyakan pekebun kecil yang menanam hampir separuh daripada minyak masak dibekalkan pembekal di Malaysia dan Indonesia dilupakan dalam usaha menjadikan industri itu lebih mesra alam dan beretika, kata pegawai industri.

Berikut beberapa fakta tentang minyak sawit dan pertikaian mengenainya:
  • Minyak sawit digunakan sebagai bahan makanan selama 5,000 tahun.
  • Pokok kelapa sawit berasal dari Afrika Barat yang tumbuh secara liar. Ia boleh tumbuh melebihi 60 kaki (18.3m).
  • Kelapa sawit diperkenalkan ke Malaysia oleh British pada awal 1870-an sebagai pokok hiasan.
  • Pokok kelapa sawit mula berbuah kira-kira 30 bulan selepas ditanam, dan masih produktif untuk 20 hingga 30 tahun.
  • Minyak sawit digunakan dalam pelbagai produk makanan dan isi rumah, daripada biskut, aiskrim dan sapuan coklat untuk roti sehinggalah sabun dan kosmetik serta bahan bakar bio.
  • India, China, Indonesia dan Eropah adalah pengguna utama minyak sawit.
  • Minyak yang dihasilkan pokok kelapa sawit 4 hingga 10 kali ganda lebih banyak daripada tanaman minyak sayuran lain bagi setiap ladang.
  • Pengeluaran minyak sawit dianggarkan kira-kira 65 juta tan pada 2017.
  • Indonesia dan Malaysia menghasilkan kira-kira 90% daripada bekalan minyak sawit dunia. Negara lain yang turut menanam kelapa sawit adalah Thailand, Ecuador, Nigeria dan Ghana.
  • Kira-kira 40% atau 5.6 juta hektar daripada keseluruhan tanah yang ditanam pokok kelapa sawit di Indonesia da Malaysia dimiliki pekebun kecil.
  • Di Indonesia dan Malaysia, 4.5 juta orang bergantung kepada pengeluaran minyak sawit sebagai sumber pendapatan.
  • Pengeluaran minyak sawit di 2 negara pengeluar terbesar diramalkan meningkat tahun ini, selepas ia pulih daripada corak cuaca El Nino pada 2015, memaksa harga purata bagi 2018 merosot 7% berbanding AS$676.30 satu tan pada 2017, menurut tinjauan Reuters pada Januari
  • Di sesetengah negara, pembersihan tanah bagi penanaman minyak sawit menyebabkan pemusnahan hutan, walaupun syarikat besar berjanji menghentikan amalan itu.
  • Aktivis menyalahkan industri minyak sawit atas pemusnahan hutan menerusi cara tebang dan bakar yang menyebabkan jerebu melanda sebahagian Asia Tenggara setiap tahun.
  • Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) adalah badan industri terdiri daripada pengguna, kumpulan pencinta alam sekitar dan syarikat tanaman sawit untuk mempromosi penggunaan produk minyak sawit yang disahkan lestari dan disokong banyak pembeli utama minyak sawit di Eropah.
  • Belgium, Denmark, Perancis, Jerman, Belanda dan Britain sudah mencapai atau dalam proses melaksanakan komitmen untuk menggunakan minyak sawit disahkan 100% lestari sebelum 2020.
  • Dianggarkan 60% minyak sawit yang digunakan untuk makanan di Eropah pada 2016 adalah minyak sawit disahkan lestari.
  • Penggubal undang-undang Eropah meluluskan draf awal tahun ini untuk memperbaharui pasaran kuasa Eropah dan mengurangkan penggunaan tenaga bagi mencapai lebih banyak matlamat perubahan iklim. Pelan itu termasuk larangan penggunaan minyak sawit dalam bahan bakar motor bermula 2021.
  • Syarikat konfeksi Itali, Ferrero yang mengeluarkan produk sapuan roti coklat dan kacang hazel, Nutella, secara terbuka mempertahankan minyak sawit selepas pihak berkuasa Eropah menyenaraikan mintak itu sebagai risiko kanser.

Tiada ulasan: