HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Mac 2018

RUU Antiberita Tidak Benar turut jejaskan pelawak solo

RUU Antiberita Tidak Benar turut jejaskan pelawak solo
Pelawak yang sering menjadikan isu semasa sebagai bahan jenaka dalam persembahan mereka akan turut terjejas dengan cadangan Putrajaya memperkenalkan sebuah akta untuk mengawal berita palsu yang dibentangkan di Dewan Rakyat minggu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
PELAWAK yang sering menjadikan isu semasa sebagai bahan jenaka dalam persembahan mereka akan turut terjejas dengan cadangan Putrajaya memperkenalkan sebuah akta untuk mengawal berita palsu yang dibentangkan di Dewan Rakyat minggu ini.

Pelawak yang terlibat mengakui undang-undang itu akan memaksa mereka berjaga-jaga tetapi pada masa sama menganggapnya sebagai cabaran untuk berkarya.

Pelawak Ahmad Fadli Nazari atau nama pentasnya KC Nazari berkata, Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar sekiranya diluluskan oleh Parlimen akan menyebabkan pelawak solo lebih berhati-hati dalam menulis komedi yang mengkritik kerajaan.

“Tetapi kekangan macam ini sebenarnya membuka ruang untuk mencabar komedian jadi lebih aktif dalam menulis komedi yang boleh menjentik kerajaan secara halus,” kata Fadli, yang pernah menyertai program Lawak Solo terbitan Astro Warna, kepada The Malaysian Insight.

“Sekat berita tidak benar, kami akan sebarkan berita sebenar dalam bentuk komedi kepada orang ramai.”

RUU untuk mengharamkan "berita palsu" yang dibentang di Parlimen pada Isnin mencadangkan denda sehingga RM500,000 atau penjara 10 tahun bagi pesalah.

RUU ini hanya memerlukan majoriti mudah untuk diluluskan di Dewan Rakyat. Ia kemudian akan dikemukakan di Dewan Negara untuk diluluskan, dan seterusnya diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapat perkenan untuk dijadikan satu undang-undang.

Para peguam melahirkan kebimbangan terhadap frasa RUU itu, khususnya dalam Seksyen 4(1) yang menyatakan "sesiapa sahaja, dengan sengaja membuat, menawar, menerbit, mencetak, mengedar atau menyebar sebarang berita palsu atau penerbitan mengandungi berita palsu, melakukan kesalahan dan boleh disabitkan, denda tidak lebih RM500,000 atau dihukum penjara sehingga sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali, dan bagi bagi kesalahan yang berterusan, pesalah boleh didenda selanjutnya sehingga RM3,000 setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan".

Penerbit Eksekutif Rumah Anak Teater Faisal Mustaffa yang menganjurkan acara lawak solo #CeritaMalamJumaat di Petaling Jaya pula berkata, undang-undang baharu ini diperkenalkan ketika Malaysia sudah mempunyai pelbagai akta yang menyekat kebebasan.

“Akta baharu memberi sekatan kepada hak bersuara seolah-olah Akta Penerbitan Percetakan, Akta Hasutan dan sebagainya tidak mencukupi.

“Akta baharu ini adalah suatu undang-undang yang cuba melindungi pemerintah yang berhadapan dengan pelbagai kontroversi yang menggugat popularitinya,” katanya.

Beliau berkata, pelawak solo yang menggunakan isu semasa dan keresahan masyarakat dalam bahan lawak mereka sudah tentu akan terjejas.

“Ini kerana mereka menggunakan berita semasa yang memberi kesan dalam kehidupan seharian rakyat sebagai bahan dalam komedi,” katanya.

Badan bukan kerajaan Centre for Independent Journalism (CiJ) sebelum ini berkata, cubaan Putrajaya untuk wujudkan undang-undang bagi membanteras berita palsu akan mewujudkan ketakutan dan merupakan ancaman terbesar terhadap demokrasi.

Pengarah CiJ Sonia Randhawa berkata RUU itu jelas merupakan cubaan untuk menghalang ucapan politik, perbincangan serta penyelidikan dan laporan penyiasatan.

"Dalam perbandingan kepada eksekutif dan kerajaan, akhbar semakin lemah dan kurang mendapat akses kepada maklumat, terutamanya dengan kehadiran Akta Rahsia Rasmi (OSA)," katanya kepada The Malaysian Insight.

"Apabila akhbar menyiarkan maklumat yang merupakan kepentingan awam, apakah jaminan mereka tidak akan dikenakan hukuman di bawah akta ini," soalnya.


Tiada ulasan: