Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: PAS bersama rakan strategiknya dalam Gagasan Sejahtera
(Gagasan) hari ini melancarkan manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)
peringkat Selangor.
Pelancaran manifesto itu disempurnakan Pesuruhjaya PAS negeri Sallehen Mukhyi di Hotel Carlton Holiday, Shah Alam hari ini.
Manifesto bertemakan 'Selangor Sejahtera' mengandungi sepuluh teras
yang turut menjanjikan pendidikan percuma bagi sekolah milik kerajaan
negeri, bantuan tambang bas sekolah percuma dan penubuhan Akademi Pasca
Tahfiz di negeri itu.
Jika berjaya membentuk kerajaan, PAS juga menjanjikan pemberian
insentif RM150 Kesihatan dan Keanggunan Wanita serta insentif RM500 khas
buat wanita bersalin di Selangor.
Sallehen berkata, disebabkan PAS berada selama dua penggal dalam
pentadbiran kerajaan negeri justeru manifesto berkenaan akan meneruskan
program sedia ada, agar ia tidak terbengkalai di tengah jalan.
"Kita akan meneruskan dengan penambaikan terhadap program yang telah
dilaksanakan kerajaan yang lalu, yang beri manfaat kepada rakyat. Sejak
Tan Sri Khalid Ibrahim memimpin kerajaan," ujarnya.
Sallehen yakin manifesto yang ditawarkan PAS Selangor itu mampu memikat hati pengundi dan rakyat di negeri pembangkang itu.
"Sebab itu kita buat manifesto ini tujuannya memang untuk menarik
(rakyat). Soal sama ada rakyat akan tertarik atau tidak, sebab kita
merancang atau merangka atas keperluan semasa rakyat. Keperluan masa
akan datang oleh rakyat.
"Kita rangka pastikan dipilih disokong rakyat, kita harapkan sokongan
rakyat. Disokong atau tidak kita tunggu pilihan raya nanti," ujarnya.
Sallehen buat kesekian kalinya berkata PAS memilih untuk 'bersikap
sopan' dengan tidak terlebih dahulu mengumumkan siapa calon menteri
besar yang akan diangkat partinya.
Ujarnya, buat masa ini PAS lebih fokus kepada memperkuatkan jentera
parti dan memastikan kemenangan diperolehi terlebih dahulu sebelum
membuat apa-apa pengumuman.
"Semua calon yang kita letak pada kali ini semua layak menjadi MB.
Sebab kita sediakan calon yang baik, yang telah ditapis MSU dari
pelbagai sudut. Kita tunggu menang dulu. Takut nanti kita calonkan
nanti.
"Kita berkeyakinan selepas kita menang, selepas itu terpulang kepada
Tuanku untuk memilih mana-mana calon PAS, semua layak menjadi MB.
"Kita tidak mencalonkan dulu sebab kita nak biar cara yang beradab,
yang sopan. Sopan maknanya biar kita bertanding dulu dah menang baru
umum. kIta jangan pakai kasut tapi baru pakai stokin. Biar pakai stokin
baru pakai stokin. Jangan macam Superman, pakai seluar baru pakai seluar
dalam kemudian," ujarnya berseloroh.
Turut hadir dalam majlis pelancaran itu adalah mantan menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Baru-baru ini, PAS peringkat nasional melancarkan manifesto bertemakan
“Malaysia Sejahtera” yang menyentuh 9 teras utama sebagai dasarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan