HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Mac 2018

Hutang kerajaan dijangka terus berkurang kepada 50% KDNK

Hutang dalam negeri kekal sebagai komponen terbesar meliputi 96.9%, mengehadkan pendedahan kepada risiko tukaran asing.


KUALA LUMPUR: Paras hutang kerajaan persekutuan akan terus berkurang kepada sekitar 50% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada akhir tahun berikutan sasaran defisit fiskal yang lebih rendah pada 2018.

Menurut Kementerian Kewangan, pada akhir 2017, hutang kerajaan persekutuan berjumlah RM686.8 bilion atau 50.8% daripada KDNK, lebih rendah di bawah had 55% ditetapkan.

“Hutang dalam negeri kekal sebagai komponen terbesar meliputi 96.9%, mengehadkan pendedahan kepada risiko tukaran asing,” kata kementerian dalam kenyataan semalam.

Menurut kementerian, kerajaan persekutuan terus membiayai perbelanjaan pembangunan menerusi pinjaman daripada pasaran domestik.

Agensi penarafan utama mengekalkan penarafan kredit Malaysia pada gred pelaburan A- dan A3, mencerminkan pengiktirafan ke atas inisiatif pembaharuan fiskal dalam mengukuhkan penarafan kredit.

Menurut kementerian, pada 2017, jumlah hasil meningkat 3.8% kepada RM220.4 bilion disokong oleh hasil cukai yang lebih baik selaras peningkatan pematuhan cukai.

Kerajaan juga mempelbagaikan sumber hasil dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil berkaitan petroleum di mana peratusan kepada jumlah hasil berkurang dengan ketara daripada 41.3% pada 2009 kepada 15.7% pada 2017.

Selain itu, kerajaan berjaya membendung pertumbuhan perbelanjaan di mana jumlah perbelanjaan meningkat kecil sebanyak 4.1% kepada RM262.6 bilion.

“Seterusnya, jumlah perbelanjaan sebagai peratusan kepada KDNK menunjukkan aliran penurunan daripada 20.5% pada 2016 kepada 19.4% pada 2017, mencerminkan usaha berterusan meningkatkan kecekapan perbelanjaan,” tambah kementerian.

Sektor sosial yang merangkumi 38% daripada jumlah perbelanjaan kekal sebagai penerima terbesar peruntukan, terutamanya dalam subsektor pendidikan, latihan dan kesihatan.

Menurut kementerian, sektor awam terus mengimbangi aktiviti sektor swasta dalam menjana pertumbuhan ekonomi melalui perbelanjaan pembangunan, terutamanya projek infrastruktur dalam meningkatkan keupayaan dan keterangkuman ekonomi.

Kerajaan melaksanakan Program Transformasi Fiskal (FTP) bagi terus mengukuhkan kedudukan kewangan.

Menurut kementerian, program ini juga bagi menyediakan ruang fiskal yang mencukupi untuk melaksanakan langkah kitaran balas bagi menangani impak negatif daripada cabaran global.

“Dasar fiskal kekal menyokong langkah meningkatkan daya tahan dan daya saing ekonomi negara, serta memastikan kesejahteraan rakyat dan penyampaian perkhidmatan awam yang berkualiti.

“Kerajaan terus komited melaksanakan langkah konsolidasi fiskal ke arah mencapai bajet hampir berimbang pada 2020. Ini terbukti dengan pengurangan defisit fiskal secara konsisten daripada 6.7% berbanding KDNK pada 2009 kepada 3.0% pada 2017,” tambah kementerian.

Tiada ulasan: