HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Mac 2018

Hukuman RUU Antiberita Tidak Benar tak melampau – Hishammuddin

Kasthuri Jeevendran
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (tengah) hadir pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Tentera Darat Kem Wardieburn di Kem Wardieburn, Setapak, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK
 

KUALA LUMPUR – Hukuman Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 yang memperuntukkan denda maksimum sehingga RM500,000 atau 10 tahun penjara adalah tidak keterlaluan seperti tanggapan sesetengah pihak.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ini kerana mereka yang didakwa atas kesalahan tersebut boleh berhujah berhubung hukuman itu di mahkamah.

Jelasnya, kerajaan telah melakukan kaian dan tidak boleh bertolak ansur atau ‘terikat’ dengan pendapat atau tanggapan sesetengah pihak terhadap undang-undang itu.

“Jika ada pihak yang merasakan hukuman RM500,000 dan penjara sehingga 10 itu melampau dan keterlaluan, mereka boleh berhujah apatah lagi apabila disabitkan di bawah undang-undang ini.

“Kita tidak boleh terikat kerana tanggapan pihak tertentu, ini melibatkan soal keselamatan negara.
Dengan menyebarkan pelbagai berita yang tidak benar kerana agenda peribadi serta pemikiran cetek segelintir pihak, yang merana adalah kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Ramah Mesra bersama Hishammuddin dengan Warga 4 Divisyen sempena program ‘Jelajah Perkasa Perwira’ di Kem Wardieburn, Setapak sebentar tadi.

Ahli Parlimen Semborong itu menambah, beliau sendiri telah melalui pelbagai pengalaman berkaitan berita palsu yang disiarkan pelbagai pihak terutamanya ketika pesawat MH370 hilang sejak tahun 2014.

Kata beliau, pelbagai berita tidak benar berhubung kehilangan itu disebarkan oleh induvidu serta kumpulan tidak bertanggungjawab seluruh dunia dengan menggunakan media sosial.

“Seandainya kita tidak selesaikan penyebaran berita tidak benar ini, ianya mungkin akan menyebabkan keselamatan negara tergugat seperti yang berlaku di sesetengah negara yang kini sedang berperang kerana penyebaran maklumat palsu.

“Dengan penyebaran berita palsu, ianya juga menyebabkan sensitiviti kaum serta keharmonian terjejas. Adalah lebih baik kita bertegas dalam perkara ini demi kebaikan semua.

“Berita palsu sebenarnya membawa ancaman keselamatan negara kerana telah berlaku banyak contoh yang penyebaran fitnah membawa kepada pergolakan selain rusuhan yang mampu memprorak perandakan negara,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said membentangkan Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar di Parlimen.

Ia dicadangkan bagi melindungi orang awam daripada penyebaran cepat berita tidak benar dan pada masa yang sama memastikan hak kebebasan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan dihormati. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: