HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Mac 2018

PRU 14 : BANDAR TUN RAZAK HADIAH BUAT PM – KU NAN




Barisan Nasional (BN) yakin dapat menjadikan kawasan Parlimen Bandar Tun Razak sebagai ‘hadiah’ bermakna buat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Pilihan Raya Umum Ke -14 (PRU14) yang akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata BN telah membantu sedaya upaya untuk menyelesaikan pelbagai masalah serta keluhan rakyat tanpa mengira agama dan kaum di kawasan tersebut.

“Meskipun Bandar Tun Razak ini tidak dimenangi oleh BN, namun kita tidak pernah meminggirkan kebajikan rakyat di kawasan ini.

“Jadi saya yakin dengan segala usaha yang telah kita laksanakan di sini, rakyat dapat sedar bahawa BN merupakan kerajaan yang sentiasa peduli dengan masalah rakyat.



“Saya juga berharap penduduk dapat memberikan semula Bandar Tun Razak kepada Datuk Seri Najib Razak kerana beliau telah laksanakan berbagai inisiatif untuk membantu rakyat, malulah menjadi penduduk Bandar Tun Razak yang tidak menyokong kepimpinan anak Tun Razak,” katanya dalam satu sidang media pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pembelian Rumah bagi Pembangunan Semula Taman Ikan Emas (Fasa 1) di Padang Bola Sepak PA Sri Melaka, Kuala Lumpur.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan dan Ketua Bahagian UMNO Bandar, Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar.

Terdahulu, seramai 1638 orang yang terdiri daripada penduduk Perumahan Awam Sri Pulau Pinang, Taman Ikan Emas (DHA) dan Seri Melaka 4G telah diberikan surat tawaran baru untuk pembelian unit gantian berkeluasan 850 kaki persegi dengan harga serendah RM28 ribu seunit.



Projek Pembangunan Semula Taman Ikan Emas itu turut menawarkan kemudahan seperti pasar terbuka, dewan, tadika dan surau untuk kegunaan bersama.

Sebagai info, Bandar Tun Razak pernah disandang oleh wakil BN daripada MCA pada PRU 1995, 1999 dan 2004 sebelum tewas kepada PKR pada 2008 akibat tsunami politik.

BN walaubagaimanapun gagal merampas kembali kerusi Parlimen kawasan tersebut pada PRU 13 yang lalu.


Tiada ulasan: