HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Mac 2018

Fahmi gesa Ku Nan jumpa penduduk Bangsar

KEADILAN DAILY

FENG0266-01_fahmi_fadzil_20160107_620_413_100

Pengarah Komunikasi KEADILAN Fahmi Fadzil menggesa Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor agar bertemu penduduk Bangsar sebelum membina jalan raya bertingkat sepanjang 1.3 kilometer dengan kos RM211 juta.

Menurut Fahmi, pembinaan jalan raya yang menghubungkan Bangsar dan Bukit Damansara itu akan meningkatkan jumlah trafik di kawasan sekitar Bangsar.

“Pada kos RM211 juta, jalanraya bertingkat sepanjang 1.34 kilometer ini bakal menelan belanja RM157,462 per meter.

“Dan memandangkan RM130 juta akan datang dari wang rakyat, ini bermaksud warga Kuala Lumpur memberi subsidi RM97,015 per meter kepada syarikat pemaju.

“Tanpa subsidi wang rakyat RM97,015 semeter ini, sudah pasti pemaju tidak akan dapat menyiapkan projek dalam masa 30 bulan seperti yang diumumkan.

“Oleh kerana projek besar ini akan memberi kesan kepada warga Bangsar dan Bukit Damansara, dan memandangkan sebahagian besar kos pembinaan projek akan ditanggung warga Kuala Lumpur, saya gesa Tengku Adnan untuk segera mengadakan satu pertemuan rakyat (“townhall”) dengan warga Bangsar dan Bukit Damansara, sama seperti yang pernah beliau lakukan dengan warga Taman Tun Dr Ismail berkaitan pembinaan di Taman Rimba Kiara,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Fahmi, Tengku Adnan perlu menjelaskan kewajaran projek tersebut kepada penduduk Bangsar.

“Beliau tidak memberikan sebarang bukti tentang kesan pembinaan jalanraya ini terhadap masa perjalanan dari Bangsar ke Bukit Damansara.

“Secara khusus, berapa minit yang akan dijimat pengguna dengan pembinaan jalanraya 1.34 kilometer ini, yang bakal menelan belanja RM211 juta di mana RM130 juta datangnya dari DBKL?” kata pemimpin Angkatan Muda KEADILAN (AMK) itu.

Tengku Adnan merasmikan majlis pecah tanah jalan raya tiga lorong itu semalam dan ia dijangka siap dalam masa dua tahun setengah menjelang 2020.

Tiada ulasan: