HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Mac 2018

"Tanya Mufti, saya tiada tauliah"-Presiden PAS

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD


 
 
KUALA TERENGGANU: Kontroversi ucapan Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin ketika perbahasan di Parlimen daripada kenyataannya ‘kalau saya jadi Tuhan’ mendapat kecaman pelbagai pihak.
 
Namun, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang enggan ‘menghukumnya’ kerana beliau bukan mufti serta tidak mempunyai tauliah itu.
 
Katanya, mengikut adab dalam Islam tidak boleh kepada penganut-Nya mencampuri hal urusan Tuhan.
 
“Mengikut adab Islam tak boleh sentuh hal Tuhan. Tuhan jadi begini…Tuhan jadi begini, kita tak boleh sentuh. Itu urusan Tuhan. Kita kena terima semua yang Tuhan buat itu ada hikmah dan ada kebaikan.
 
“Walaupun kita tengok Tuhan jadikan babi sebagai contohnya najis ada hikmahNya untuk baja dan sebagainya. Bukan untuk makan… Tuhan jadikan ini dan orang yang baik boleh jadi jahat dan orang jahat boleh jadi baik.
 
“Di mana itu dalam ilmu Tuhan, kita tak boleh campur dan ilmu Tuhan kita kena terima Tuhan adalah adil… adalah bijak… adalah baik. Tak boleh sentuh hal ciptaan Dia. Itu adab orang Islam,” jelasnya.
 
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Penutup Dialog Rayat “Terengganu Sejahtera Selepas PRU14” di sebuah hotel, Kuala Terengganu, semalam.
 
Menjawab pertanyaan wakil media, apakah hukum kepada seseorang yang mengeluarkan kenyataan ‘kalau saya Tuhan’ itu, Dato’ Seri Abdul Hadi enggan menghukumnya.
 
“Itu kena tanya muftilah, saya takut (bimbang disalah tafsir) bagi fatwa pula. Saya tak ada tauliah bagi fatwa,” tegasnya kepada media.
 
Kenyataan kontroversi itu dikeluarkan oleh pimpinan PAN ketika Hanipa bertikam lidah dengan Ahli Parlimen Baling, Dato’ Seri Abdul Azeez Rahim di Parlimen yang mendakwa pemimpin PAN itu seperti tuhan kerana mengjangkakan PH memenangi PRU14.
 
Justeru itu, Hanipa pula membalasnya dengan kenyataan “Nasib baik saya bukan Tuhan, kalau saya Tuhan dari awal saya tak jadikan kamu". - HARAKAHDAILY


Tiada ulasan: