HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Mac 2018

Kebebasan bersuara lebih teruk bawah Najib


Fahmi




Fahmi Fadzil


Saya terpanggil untuk membalas kenyataan yang dibuat Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, yang berkata kebebasan bersuara di bawah Datuk Seri Najib Razak lebih baik berbanding di bawah Tun Dr Mahathir.

Kenyataan DS Salleh ini sebenarnya langsung tidak bersandarkan fakta atau rujukan. Ia adalah kenyataan terdesak memandangkan Pakatan Harapan semakin kukuh dan bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke-14. (PRU-14).

Dengan kata lain, ini hanyalah retorik politik untuk menonjolkan kesetiaan Datuk Seri Salleh terhadap bos beliau menjelang PRU-14.

Cukup mudah untuk mematahkan hujah Datuk Seri Salleh. Sebagai contoh, jika kita rujuk Indeks Kebebasan Media Sedunia (World Press Freedom Index) terbitan Reporters Sans Frontier (RSF) – sebuah NGO antarabangsa yang memantau tahap kebebasan media – kita akan lihat bagaimana kebebasan bersuara di kalangan media di Malaysia bertambah parah di bawah DS Najib berbanding penghujung era pentadbiran Tun Dr Mahathir:

Tahun Kedudukan Skor
2003 104 dari 166 negara 32.00
2004 122 dari 167 negara 39.83
2016 146 dari 180 negara 46.57
2017 144 dari 180 negara 46.89

(Nota: 2003 adalah tahun kedua RSF menerbitkan laporan tahunan skor dan kedudukan kebebasan media)

Mana tidaknya, di bawah Datuk Seri Najib, begitu banyak media cetak dan dalam talian yang telah digantung atau diharamkan termasuk The Edge, Sarawak Report, The Malaysian Insider dan Asia Sentinel. Kebanyakan media ini ditekan kerana membuat laporan tentang penyelewengan wang dari 1MDB.

Jika dibandingkan dulu dan sekarang, malah lebih-lebih lagi sejak Datuk Seri Salleh menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia, berapa ramai rakyat biasa yang telah ditahan dan dihadapkan ke mahkamah hanya kerana menulis komen atau mengkritik DS Najib di Facebook atau Twitter? Ini termasuklah pereka grafik Fahmi Reza, kartunis Zunar, bekas pensyarah, peniaga, pemandu lori dan begitu ramai lagi.

Jelas, bila dibanding dulu dan sekarang, kebebasan bersuara rakyat Malaysia semakin parah kerana dihalang dari mengkritik pemimpin seperti bos Datuk Seri Salleh.

Maka saya menggesa Datuk Seri Salleh untuk mengurangkan aktiviti mengampu bos beliau dan berusaha lebih gigih untuk memperbaiki dan mengukuhkan kebebasan bersuara dan kebebasan media Malaysia, demi rakyat dan masa depan yang lebih baik untuk semua.
,
* Fahmi Fadzil, Pengarah Komunikasi KEADILAN

Tiada ulasan: