HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Mac 2018

Pekerja Linatex mogok lapar bantah pemecatan tidak munasabah



Pekerja Linatex lancarkan mogok.

Seramai 37 orang pekerja kilang berasaskan getah Weir Minerals Malaysia Linatex, Batu Caves melancarkan mogok lapar di hadapan kilang berkenaan bermula Rabu lalu membantah tindakan pihak pengurusan syarikat memberhentikan mereka tanpa alasan munasabah.

Pada Rabu lalu, hanya 16 orang melancarkan mogok lapar berkenaan namun pada petang semalam 21 orang yang sebelum ini digantung kerja turut menyertai mogok lapar tersebut.

Kesemua 21 orang yang digantung kerja sehingga kelmarin itu telah disahkan sebagai juga dibuang kerja oleh pihak syarikat semalam.

Menurut jurucakap kumpulan pekerja tersebut, Jai Ganesh Subramaniam, mereka yang terlibat dibuang kerja itu rata-rata telah berkhidmat lebih lima tahun hingga 27 tahun.

Menurut beliau, pihak pengurusan memberikan alasan yang sangat tidak munasabah untuk memberhentikan mereka dan ia dipercayai kata beliau, merupakan usaha syarikat untuk menggantikan mereka, pekerja tempatan dengan pekerja asing.

Kata beliau, pekerja asing yang bekerja di kilang berkenaan ada yang tidak memiliki permit, namun mereka diberikan layanan yang istimewa seperti diberikan tempat tinggal, disediakan kenderaan seperti bas dan van untuk membawa mereka pergi balik pada hari bekerja.

Menurut Ganesh lagi, kilang Scotland yang terletak di Batu Caves itu mempunyai lebih 300 orang pekerja dan lebih separuh daripadanya kini adalah warga asing.

Kata beliau, pihak syarikat sengaja mencipta alasan untuk membuang pekerja tempatan, lebih-lebih lagi mereka yang terlibat dan rapat dengan persatuan pekerja kilang tersebut.

Sirhan ….kesal.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa (AJK) perstuan tersebut mendakwa, perjanjian syarikat dengan pekerja yang telah pun tamat tidak lagi mahu diperbaharui oleh syarikat.

Seorang lagi AJK persatuan itu, Sirhan Muhamad Hashim berkata, pihak syarikat sehingga kini masih enggan mendengar bantahan dan berunding dengan kumpulan yang dibuang kerja ini.

Pada 24 Mac lalu, 15 orang daripada pekerja ini telah bertemu Naib Presiden AMANAH, Husam Musa dan mengadu tentang hal pembuangan kerja secara tidak wajar ini.

Menurut Sirhan, pada Isnin depan, pihaknya akan menyerahkan memorandum kepada pihak-pihak tertentu di Putrajaya sebagai suatu usaha supaya masalah mereka ini diberi perhatian.

Tiada ulasan: