HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Mac 2018

Pengundi India di KL masih jadi penentu, kata Hindraf

 
Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy tidak bersetuju dengan Tian Chua yang memberi amaran masyarakat India akan dipinggirkan dengan wujudnya kerusi 'super Cina' dan 'super Melayu' di Kuala Lumpur.


Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy berkata, pengundi India akan menjadi lebih relevan.


PUTRAJAYA: Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy menyangkal kenyataan Tian Chua yang persempadanan semula kawasan pilihan raya akan menyebabkan pengundi India tidak relevan di Kuala Lumpur.

Semalam, naib presiden PKR itu memberi amaran, persempadanan semula akan mewujudkan kerusi “super Cina” dan “super Melayu” di Kuala Lumpur dan pengundi India akan dipinggirkan.

Ahli Parlimen Batu itu berkata, pengundi India berada di hampir semua 11 kerusi Parlimen di ibu negara, tetapi persempadanan semula akan menyebabkan “pengundi India yang mengundi Barisan Nasional (BN) tidak mampu memberi impak, suara mereka akan disenyapkan”.

Waythamoorthy bagaimanapun tidak bersetuju dengan kenyataan Tian Chua, sebaliknya beliau berkata, undi India menjadi lebih relevan, terutamanya di kerusi “super Melayu”.

“Di kerusi Melayu, undi Melayu mungkin berpecah kepada 3 antara Umno, Pakatan Harapan dan PAS,” katanya kepada FMT.

“Jika ia terbahagi secara sama rata dan jika masyarakat India mengundi di kerusi-kerusi ini, mereka sebenarnya menjadi lebih relevan kerana boleh menjadi penentu.”

Semalam, usul persempadanan semula kawasan pilihan raya diluluskan di Dewan Rakyat, dengan 129 ahli Parlimen menyokong dan 80 menolak selepas perbahasan kira-kira 2 jam oleh 7 wakil rakyat dari kedua belah pihak.

Sebelum itu, Bersih 2.0 mengadakan protes di luar bangunan Parlimen bagi membantah pembentangan usul persempadanan semula di dalam Parlimen.

Persempadanan semula itu akan menjejaskan 10 kerusi Parlimen di Kuala Lumpur, iaitu Kepong, Batu, Wangsa Maju, Segambut, Setiawangsa, Bukit Bintang, Lembah Pantai, Seputeh, Cheras dan Bandar Tun Razak.

Lima daripada kerusi Parlimen itu dikuasai DAP, manakala 3 lagi PKR.

Kerusi Setiawangsa pula kini disandang Datuk Ahmad Fauzi Zahari daripada Barisan Nasional dan Bandar Tun Razak diwakili bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang kini merupakan calon bebas selepas meninggalkan PKR pada Ogos 2014.

Tiada ulasan: