HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Mac 2018

Bakar rakan sebab enggan sama-sama mencuri

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KLANG: Seorang pekerja restoran dijatuhi hukuman penjara selama 18 tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan membakar bekas rakan sekerjanya kerana enggan mencuri bersama, tiga tahun lalu.
 
Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid membuat keputusan itu terhadap Muhammad Khairul Anuar Abdullah, 25, selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pendakwaan.
 
Hukuman itu diperintah berjalan bermula hari ini, sekali gus menolak permohonan peguam bela tertuduh, Shahrul Nizam Azwir, untuk menangguhkan perlaksanaan hukuman.
 
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas mangsa berusia 21 tahun dengan menggunakan api.
 
Perbuatan itu dilakukan di kebun kelapa sawit, Kampung Seri Aman, Sungai Besar, di antara jam 11.30 malam, 27 September 2015 hingga 12.30 pagi 28 September tahun sama.
 
Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
 
Berdasarkan fakta kes, Muhammad Khairul dan mangsa pernah bekerja bersama di kedai pakaian dan aksesori berjenama di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 2015.
 
Dia didakwa mengajak mangsa mencuri beberapa barangan di dalam kedai itu, namun mangsa enggan.
 
Beberapa bulan kemudian, Muhammad Khairul berjumpa dengan mangsa di sebuah hentian bas di Damansara dan memaksa mangsa mengikutnya ke satu lokasi.
 
Setibanya di lokasi kejadian, tertuduh memukul mangsa sehingga pengsan, mengheret mangsa keluar dari kereta dan mencurah petrol serta membakarnya.
 
Mangsa kemudian terjun ke dalam parit berdekatan sebelum berjalan kira-kira 500 meter untuk meminta bantuan.
 
Terdahulu, dalam kenyataan impaknya ketika prosiding itu, mangsa memberitahu mahkamah bahawa dia mengalami kecacatan kekal iaitu tidak lagi mempunyai ketiak kerana kulit lengan kiri bercantum dengan badan.
 
Dia juga mempunyai kesan parut melecur di sebahagian badan, selain tidak boleh terdedah kepada matahari selama hampir setahun.
 
"Saya juga tidak dapat berkerja dan melakukan aktiviti lain. Saya tidak tahu apa salah saya dan kenapa saya dibakar.
 
"Malah, saya juga pernah cuba untuk bunuh diri kerana tidak boleh terima apa yang dia lakukan kepada saya. Saya alami trauma selama berbulan-bulan dan tidak boleh bau minyak petrol," katanya sebak.
 
Timbalan Pendakwa Raya, Mahmoodah Ab Latiff, yang mengendalikan kes memohon hukuman berat berikutan perbuatan tertuduh serius dan bagi memberi pengajaran kepada umum.
 
Seramai 12 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
 
 

Tiada ulasan: