HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Mac 2018

Semua sempadan baharu pilihan raya di Selangor dipegang Pakatan atau PAS

Semua sempadan baharu pilihan raya di Selangor dipegang Pakatan atau PAS
Persempadanan semula dilakukan SPR menjejaskan 40 kerusi di seluruh negara. Di Selangor, semua kerusi terlibat iaitu lima kerusi Parlimen dan sembilan kerusi DUN kini dipegang wakil rakyat Pakatan Harapan atau PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 
 
SEMUA kerusi yang diberikan nama baharu dalam persempadanan semula bahagian pilihan raya di Selangor dipegang oleh Pakatan Harapan (PH) atau PAS.

Di bawah sempadan baharu itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menamakan semula lima kerusi Parlimen dan sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor yang kini ditadbir PH.

Keseluruhannya, SPR mewujudkan 40 sempadan baharu kawasan pilihan raya di seluruh negara- 12 kerusi Parlimen dan 28 kerusi DUN.

Di Selangor, lima kerusi Parlimen yang merupakan sempadan baharu ialah: Bangi (sebelum in Serdang), Subang (Kelana Jaya), Petaling Jaya (PJ Selatan), Damansara (PJ Utara) dan Sg Buloh (Subang).

Bangi dan Damansara kini dipegang oleh DAP menerusi Dr Ong Kian Ming dan Tony Pua, tiga lagi kawasan dipegang oleh PKR.

Petaling Jaya dipegang oleh Hee Loy Sian, Subang dipegang oleh Wong Chen dan Sg Buloh merupakan kawasan R Sivarasa.

SPR mengubah sempadan dan memberikan nama baharu walaupun menerima bantahan pengundi yang menyifatkan tindakan itu akan mengelirukan pengundi dan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional yang kini jadi pembangkang di Selangor.

Menurut kajian Institut Darul Ehsan, BN boleh menang PRU14 dengan hanya 42% undi popular di bawah sempadan baharu itu.

Pada pilihan raya lepas, PH berjaya meraih 52% undi popular walaupun hanya menang di 89 kerusi.

BN pula menerima 48% undi popular tetapi menang 133 kerusi daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.

Di bawah sempadan baharu itu, Petaling Jaya Utara yang kini dinamakan sebagai Damansara akan mempunyai pengundi paling ramai iaitu sebanyak 150,439 atau peningkatan 76.16%.

Pada pilihan raya lepas, PJ Utara hanya mempunyai 85,401 pengundi dan Pua menang di situ dengan 81.3% undi. Pengkritik mengatakan peningkatan jumlah pengundi di kerusi itu hanya akan meningkatkan marjin kemenangan Pua dan pada masa sama mengurangkan marjin kemenangan kerusi lain.

Kerusi lain dengan peningkatan pengundi yang tinggi adalah Petaling Jaya (62.6%), Beruas (55%), Klang (40.3%) dan Bukit Bintang (32%).

Lima kerusi yang paling banyak berkurangan jumlah pengundi pula adalah Sg Buloh (42.8%), Hulu Langat (34.8%), Lumut (29.7%), Kapar (26.4%) dan Puchong (22.7%).

Begitu juga dengan sembilan kerusi DUN di Selangor yang diberikan sempadan baharu kini dipegang oleh wakil rakyat PH atau PAS.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan cadangan persempadanan semula kontroversi yang dibentangkan Perdana Menteri Najib Razak dengan 129 undi menyokong berbanding hanya 80 menentang.

Tiada ulasan: