HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Mac 2018

AWER sambut baik titah Sultan Selangor

Oleh Umi Faten Nadia
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran, menyambut baik titah Sultan Selangor agar penstrukturan semula industri air dimuktamadkan segera.
 
Justeru Piarapakaran menyeru pihak berwajib menyegerakan proses itu bagi mengelakkan jutaan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur serta Wilayah Persekutuan tidak lagi sekali lagi terkesan dengan gangguan bekalan air.
 
"Saya menyokong sepenuhnya titah ini daripada Sultan Selangor, dan saya berharap pihak-pihak berwajib memuktamadkan penstrukturan ini dengan seberapa segera yang mungkin," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam menitahkan kerajaan negeri memuktamadkan proses penstrukturan semula industri perkhidmatan air bersama Kerajaan Persekutuan. 
 
Titah baginda, kerjasama kedua-dua peringkat pentadbiran itu penting bagi menjamin kepentingan negeri dan rakyat Selangor.
 
Baginda juga bertitah agar isu air di Selangor tidak di politikkan pihak berkepentingan.
 
Terdahulu Sultan Sharafuddin merasmikan pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi penggal keenam, semalam.
 
Mengulas lanjut, Piarapakaran berpandangan titah Sultan Selangor tepat pada masanya.
 
"Saya berharap pihak-pihak berwajib jangan mula tunding jari, cepat-cepat siapkan kerja sebab bila Baginda bertitah bermaksud sudah sampai ke tahap sehingga Baginda perlu keluarkan titah untuk melakukan perkara yang betul," katanya.
 
Selangor sebelum ini mengalami masalah ketiadaan air bersih selama enam hari, tempoh yang terlalu lama untuk diharungi oleh rakyat di negeri itu.
 
Pengguna pada mulanya dijanjikan bekalan air hanya melibatkan beberapa hari sahaja, namun tiba-tiba sistem mampatan udara Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) Bukit Badong pecah menyebabkan tempoh gangguan air bertambah ke enam hari.
 
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini beralasan LRA SSP3 di luar bidang kuasa kerajaan negeri dan ia adalah milik Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (Splash).
 
Splash hingga kini masih gagal diambilalih kerajaan negeri biarpun tiga syarikat konsesi air yang lain sudah menjadi milik kerajaan negeri Selangor.
 
*Tiga syarikat konsesi itu adalah Konsortium Abbas Sdn Bhd, Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas). 
 
 

Tiada ulasan: