Rancangan melaksanakan GST tertangguh kerana kerajaan ketika itu tiada keberanian politik, kata perdana menteri.
Perdana menteri berkata hanya ketika pentadbirannya kerajaan mengambil langkah melaksanakan rancangan yang tertangguh itu.
“Soal GST bukan soal baru. Tahun 1984 lagi kerajaan ketika itu nak laksanakan GST tetapi tidak ada keberanian politik. Ia keputusan yang betul tetapi ada akibat politik.
“Kita sanggup menanggung akibatnya kerana ia langkah yang betul dan GST akan memberi kebaikan kepada rakyat dan negara dalam jangka masa panjang,” katanya di sesi forum sempena pelancaran Laporan Tahunan Transformasi Negara 2017 di Pusat Pameran Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec).
Naik bukan semata-mata GST
Menjawab soalan daripada peserta forum, Najib berkata kenaikan harga barangan tidak mungkin semata-mata GST.
Ini kerana kerajaan mengecualikan 578 barangan termasuk barangan asas seperti beras, ayam, telur, ikan, daging, sayur, roti, buah-buahan, buku dan ubat-ubatan.
“Takkan harga ikan kembung naik kerana GST! Sebab ikan tak ada GST,” katanya, dan menambah banyak dakwaan tentang kenaikan harga barang tidak berasaskan fakta sebenar.
Najib juga menolak tuduhan pentadbirannya tidak melaksanakan program yang membantu rakyat.
Perdana menteri berkata fokus utama pentadbirannya ialah meringankan beban rakyat melalui pelbagai program termasuk projek transit aliran massa (MRT) dan bantuan bulanan kepada golongan nelayan, pekebun dan pesawah.
“Kita utamakan rakyat misalnya pengangkutan dimana sekarang ini setiap hari 1.3 juta rakyat menggunakan pengangkutan awam. MRT sahaja hampir 120,000 sehari yang guna dan jumlah ini akan terus meningkat.
“Golongan nelayan tiap-tiap bulan dapat RM300, pekebun kecil dan pesawah padi juga kita bantu. Menerusi BR1M, 7 juta rakyat dapat bantuan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan