HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Mac 2018

Citibank Lulus Pinjaman RM2.1 Juta : Berapa Pendapatan Guan Eng Sebulan ?

 
 



Pendedahan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini bahawa Citibank Berhad meluluskan pinjaman berjumlah RM2.1 juta kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk membeli sebuah banglo di No 25, Jalan Pinhorn menimbulkan persoalan berapa sebenarnya pendapatan bulanan beliau.

“Hari ini Mahkamah diberitahu Lim Guan Eng telah ambil pinjaman bank berjumlah RM 2.1 juta untuk biayai pembelian sebuah banglo di Jalan Pinhorn. Pinjaman bank itu diluluskan pada 23 Julai 2015.

“Tempoh pinjaman adalah 15 tahun dan bayaran balik adalah RM16,172.39 sebulan.

“Mengikut amalan biasa perbankan bagi pinjaman, jumlah bayaran balik pinjaman tidak boleh melebihi satu pertiga (1/3) jumlah pendapatan peminjam.

“Berapa pendapatan Lim Guan Eng sebulan? RM 50,000?,” soal Azizi Safar dalam Facebook.
Pertanyaan itu dibuat berdasarkan kenyataan saksi pendakwaan ke-12, Lim Wern Shern, pengurus jualan di Citibank Berhad Pulau Pinang dari 2012 hingga November 2017, di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Hari ini.

Wern Shern, yang kini bekerja sebagai Perancang Penilaian Kewangan Bertauliah di sebuah syarikat, berkata hartanah beralamat No 25, Jalan Pinhorn, Georgetown dengan harga jualan RM2.8 juta itu adalah berkeluasan tanah 10,000 kaki persegi dan keluasan bangunan 6,000 kaki persegi, namun pihak Citibank Berhad hanya meluluskan pinjaman berjumlah RM2.1 juta sepertimana yang dipohon Guan Eng.

Beliau turut mengesahkan “Application For Credit Facility- Letter of Approval” atas nama Lim Guan Eng bertarikh 23 Julai 2015, adalah surat kelulusan pinjaman Guan Eng yang dialamatkan kepada Guan Eng dan disalinankan kepada peguamnya, Tetuan Zaid Ibrahim & Co.

Turut disahkan mengesahkan tanda tangan di muka surat 29 surat itu adalah tanda tangan Guan Eng dan mengesahkan perjanjian itu ditandatangani pada 24 Julai 2015 di pejabat Guan Eng di Komtar, di mana beliau turut hadir.

“Saya sahkan tanda tangan di ruangan ‘Signature of Purchaser (s)’ adalah tanda tangan Lim Guan Eng manakala tanda tangan di ruangan ‘Signature of Vendor(s)’ adalah Phang Li Koon. Saya sendiri berjumpa dengan Phang Li Koon untuk mendapatkan pengesahan dan tanda tangan,” katanya dalam pernyataan saksi yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail pada perbicaraan hari ke-2 kes rasuah Guan Eng dan Phang.

Merujuk surat bertarikh 18 Jun 2015 atas nama Guan Eng, beliau berkata, jumlah pinjaman yang dipohon oleh Guan Eng ialah RM2.1 juta dengan jangka masa pinjaman selama 15 tahun dengan ansuran bulanan RM16,172.39.

“Jumlah pinjaman yang diberikan oleh Citibank Berhad adalah 75% daripada nilai harga rumah yang dibeli. Oleh kerana harga rumah yang ingin dibeli adalah RM2.8 juta, jumlah pinjaman yang dibenarkan adalah RM2.1 juta,” jelas saksi itu.

Menjelas lebih lanjut mengenai perkara itu, Wern Shern berkata ini adalah pemohonan ke-2 Guan Eng selepas beliau membatalkan perjanjian pembiayaan perumahan pertama yang ditandatangani pada 18 Disember 2013.

Beliau berkata pada 5 Jun 2015, isteri Guan Eng, Betty Chew Gek Cheng, sekali lagi menghubunginya untuk memulakan semula proses pinjaman dengan Citibank dan pada 8 Jun tahun sama, beliau berjumpa dengan Betty di pejabatnya di Tingkat 9, Menara Penang Garden.

Katanya beliau membawa borang permohonan baharu untuk diisi kerana permohonan pinjaman sebelum ini tidak boleh digunakan disebabkan terbatal.

Wern Shern kemudian menemu bual Betty dan mengisi borang permohonan pinjaman bank yang baharu atas nama Guan Eng.

Bagi pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu ketua menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isterinya, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Guan Eng, 58, dituduh melakukan kesalahan tersebut ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar, George Town pada 18 Julai.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan ke-2, Guan Eng didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu ketua menteri Pulau Pinang mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town daripada ahli perniagaan, Phang dengan harga RM2.8 juta.

Sedangkan, nilaian semasa hartanah itu adalah RM4.27 juta yang tertuduh mengetahui Phang mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya.

Guan Eng didakwa melakukan kesalahan itu di No 25 Jalan Pinhorn, George Town pada 21 Oktober 2015 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 2 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Phang juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Lim dalam mendapatkan banglo berkenaan pada harga bawah nilai sebenar.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di tempat dan pada tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 165, memperuntukkan hukuman penjara hingga 2 tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan: