KUALA LUMPUR: Ketua polis negara berkata, belum ada hasil positif dalam
usaha menjejaki bekas suami M Indira Gandhi, Muhammad Riduan Abdullah
dan anak bongsunya.
Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bagaimanapun berkata, usaha memburu Riduan
dan mengesan Prasana Diksa dibuat secara berterusan, tetapi polis tidak
menghebahkan di media massa.
“Kita buat hebahan, (tetapi) kita tak buat dalam sebaran media massa.
“Yang jadi masalah pada kita, ada pihak kata ada di Johor, ada di
Kelantan. Jadi bila ada maklumat, kita buat semakan (dan) tidak ada
hasil setakat ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Perjumpaan
Persatuan Kebajikan Isteri Polis (Perkep) bersama isteri timbalan
perdana menteri, Datin Seri Hamidah Khamis di Pusat Dagangan Dunia Putra
hari ini.
Pada 29 Januari lalu, Fuzi dilaporkan berkata, usaha mengesan dan
menahan Riduan masih berterusan sejak 2014, berdasarkan waran
pengkomitan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 30 Mei 2014.
Ia susulan kenyataan Indira yang berkata, polis tiada lagi alasan tidak
mencari dan menahan bekas suaminya yang didakwa gagal menyerahkan anak
perempuan mereka kepadanya.
Mahkamah Persekutuan pada 29 Januari lalu mengetepikan penukaran agama
sebelah pihak 3 anak Indira kepada Islam, selepas memutuskan sebarang
penukaran agama kanak-kanak bukan Islam harus mendapat persetujuan
kedua-dua ibu bapa.
Keputusan itu mengakhiri pertarungan selama 9 tahun mengenai hak penjagaan antara agama.
Riduan yang dahulunya dikenali sebagai K Pathmanathan, memeluk Islam
pada 11 Mac 2009 dan meninggalkan rumah 3 minggu kemudian bersama anak
bongsu mereka, Prasana.
Pada 2 April 2009, Riduan menukar agama ketiga-tiga anaknya kepada
Islam tanpa persetujuan dan pengetahuan Indira. Dia ke Mahkamah Syariah
beberapa hari kemudian untuk memperoleh hak penjagaan ke atas 3 anaknya.
Kini, anak sulung Indira, Tevi Darsiny berusia 21 tahun dan anak
lelakinya, Karan Dinish yang berusia 20 tahun, cukup dewasa untuk
menentukan agama sendiri. Bagaimanapun, Prasana yang kini berusia 10
tahun, masih hilang.
Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengarahkan ketua polis negara
menangkap Riduan kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi menyerahkan
anak perempuan bongsunya kepada bekas isterinya.
Pada 2010, Mahkamah Tinggi Ipoh memberi Indira hak penjagaan sepenuhnya
terhadap 3 anaknya dan memerintahkan Riduan menyerahkan Prasana kepada
ibunya.
Dalam perkembangan lain, Fuzi berkata, pihaknya tiada butiran berkaitan
audio rakaman didakwa mirip suara seorang pemimpin PAS yang mempunyai
hubungan dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.
“Tak ada, kita pun tak tahu. Kita tak dapat maklumat apa-apa hal itu,
saya tak dapat maklumat, saya tak dapat komen isu CIA,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan