KUALA LUMPUR: Tiga Ahli Parlimen DAP diarahkan keluar Dewan Rakyat dan
digantung 10 hari, bermula hari ini kerana menghina institusi Parlimen.
Mereka adalah Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham; Nga Kor Ming (Taiping) dan Sivakumar Varatharaju Naidu (Batu Gajah).
Arahan itu dikeluarkan melalui pemasyhuran Yang Dipertua Dewan Rakyat,
Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang dibacakan oleh Timbalan Yang Dipertua
Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, kira-kira jam 11 pagi tadi.
Ia susulan ketiga-tiga Ahli Parlimen pembangkang itu mengeluarkan
kenyataan media yang disifatkan sebagai menghina Yang Dipertua Dewan
Rakyat sebagai pengerusi mesyuarat, serta mencemarkan prestij Dewan
Rakyat.
Ketiga-tiga Ahli Parlimen DAP itu juga enggan memohon maaf secara
terbuka kepada Pandikar, sekali gus tidak menghormati kuasa Yang
Dipertua Dewan Rakyat serta menghina Parlimen.
"Ingin saya ingatkan, semua perbuatan dan kenyataan secara bersama yang
dibuat ketiga-tiga Ahli Parlimen ini adalah satu penghinaan terhadap
Yang Dipertua Dewan Rakyat yang menjalankan tugas sebagai Pengerusi
Dewan Rakyat, demikian bererti penghinaan kepada Dewan Rakyat.
"Maka, ia adalah perbuatan menghina Majlis Mesyuarat dan tidak
mengendahkan kuasa Pengerusi Majlis Mesyuarat seperti dinyatakan dalam
Peraturan Mesyuarat 44 (2).
"Justeru itu, saya memerintahkan Ahli Parlimen Beruas, Ahli Parlimen
Taiping dan Ahli Parlimen Batu Gajah untuk keluar daripada Majlis
Mesyuarat selama 10 hari mulai hari ini," katanya seperti dibacakan
Ronald di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada 7 Mac lalu, Koo Ham, Kor Ming dan Sivakumar mengeluarkan kenyataan
media secara bersama dan mendakwa Pandikar sebagai bersekutu menutup
skandal rasuah kerana menolak usul berkaitan penyitaan kapal mewah
Equinimity, serta soalan berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB),
dan menggesa Yang Dipertua Dewan Rakyat itu meletak jawatan.
Pandikar kemudian menulis surat pada 13 Mac lalu meminta ketiga-tiga
Ahli Parlimen itu memohon maaf secara terbuka di Dewan Rakyat kerana
mengeluarkan kenyataan menghina Yang Dipertua Dewan Rakyat, namun mereka
enggan berbuat demikian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan