HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Mac 2018

Najib bentang usul persempadanan tanpa hirau protes, 10 kerusi KL terjejas

 
Sebanyak 10 kerusi Parlimen terjejas, iaitu Kepong, Seputeh, Cheras, Bukit Bintang, Segambut, Lembah Pantai, Batu, Wangsa Maju, Setiawangsa dan Bandar Tun Razak.
 
 



PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini membentangkan usul mengenai kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya di Dewan Rakyat, walaupun ahli Parlimen pembangkang menyertai ratusan penunjuk perasaan berkumpul di luar untuk membantah usul itu dibentangkan.

Alasannya, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago memfailkan injunksi di mahkamah bagi menghalang pembentangan laporan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya dan wujud pertindihan prosedur di pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).



Di luar bangunan Parlimen, Bersih 2.0 yang disertai kira-kira 200 penunjuk perasaan membantah pembentangan usul itu, manakala di dalam Dewan Rakyat, Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia bertegas ia adalah bidang kuasa Dewan Rakyat untuk memutuskan usul itu, apabila ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan kesahihan usul membentangkan laporan itu.

Sekilas pandang laporan itu mendapati persempadanan semula itu akan menjejaskan 10 daripada 11 kerusi Parlimen di Kuala Lumpur.

Ia termasuk Kepong, Batu, Wangsa Maju, Segambut, Setiawangsa, Bukit Bintang, Lembah Pantai, Seputeh, Cheras dan Bandar Tun Razak.

Lima daripada kerusi Parlimen itu dikuasai DAP, manakala Lembah Pantai, Batu dan Wangsa Maju dipegang PKR.

Kerusi Setiawangsa pula kini disandang Datuk Ahmad Fauzi Zahari daripada Barisan Nasional dan Bandar Tun Razak diwakili bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang kini merupakan calon bebas selepas meninggalkan PKR pada Ogos 2014.

Di Parlimen Kepong, seramai 2,490 pengundi di daerah mengundi Jinjang Tempatan dimasukkan ke kubu kuat DAP itu yang disandang Dr Tan Seng Giaw sejak 1978.

Cadangan itu akan menyebabkan jumlah pengundi berdaftar di kerusi Parlimen Kepong bertambah daripada 68,035 orang pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 kepada 70,576 orang.

Keadaan sebaliknya berlaku di Parlimen Batu, kawasan yang dimenangi Naib Presiden PKR, Tian Chua sejak 2004 apabila 7,375 pengundi di kawasan itu dipindahkan ke Parlimen Wangsa Maju dan 2,970 pengundi lagi dimasukkan ke Parlimen Segambut.

Di kawasan Lembah Pantai yang diwakili Nurul Izzah Anwar sejak 2008, seramai 6,598 pengundi dari daerah mengundi Tasik Perdana dimasukkan ke sana, tetapi 4,832 pengundi di daerah mengundi Kampung Bohol dan Kampung Bahagia dikeluarkan ke Parlimen Seputeh.

Keadaan sama berlaku di kerusi Parlimen Seputeh yang dipegang Teresa Kok sejak 1999, di mana 10,215 pengundi dari 4 daerah mengundi Kampung Bohol, Kampung Bahagia, Kampung Sungai Besi dan Bukit Jalil dipindahkan ke kawasan itu.

Tetapi, lebih ramai pengundi, iaitu 14,254 orang dari 5 daerah mengundi Salak Selatan, Taman Sungai Besi, Salak Tempatan Dalam, Salak Tempatan Changkat dan Salak Tempatan Bukit di bawah Parlimen Seputeh, dipindahkan ke kerusi Parlimen Bukit Bintang.

Ini menyebabkan jumlah pengundi Parlimen Seputeh berkurangan daripada 85,976 orang kepada 81,290 orang kini. Timbalan setiausaha agung DAP itu memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti lebih besar pada setiap PRU dan kira-kira 10 kali ganda, daripada kelebihan 5,200 undi (PRU 1999) kepada 51,552 undi pada 2013.

Beralik ke Parlimen Cheras yang dikuasai Pengerusi DAP, Tan Kok Wai sejak PRU 2004, di mana 32,600 pengundi dari 11 daerah mengundi dipindahkan ke kerusi itu.

Sebelas daerah mengundi itu adalah Jalan Pasar, Jalan San Peng, Rumah Pangsa Loke Yew, Kampong Loke Yew, Jalan Loke Yew, Pudu Hujung, Jalan Sungai Besi, Jalan Chan Sow Lin, Jalan Cheras, Taman Miharja dan Pudu Ulu.

Kini, Parlimen Cheras mempunyai 78,199 pengundi berbanding 72,551 pengundi pada 2013.

Parlimen Bandar Tun Razak yang disandang Khalid sejak 2008 tidak terjejas selepas SPR menolak cadangan mengeluarkan Taman Connaught Utara dan Taman Connaught Selatan dari kawasan itu.

Tiada ulasan: