HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Mac 2018

Agong perintah persempadanan semula bahagian pilihan raya diwartakan

 
Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V mengarahkan syor-syor yang terkandung dalam laporan SPR berkuat kuasa dari tarikh perintah itu berkuat kuasa.




PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V mengeluarkan arahan untuk menguatkuasakan Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya) (Negeri-Negeri Tanah Melayu) 2018 bermula hari ini.

Dalam warta kerajaan Persekutuan berkenaan, arahan baginda itu dikeluarkan supaya syor-syor yang terkandung dalam laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertarikh 6 Mac hendaklah berkuat kuasa dari tarikh perintah itu berkuat kuasa.

Warta kerajaan Persekutuan itu disiarkan di portal http://www.federalgazette.agc.gov.my Jabatan Peguam Negara.

SPR mengikut Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan mengkaji semula pembahagian Negeri-Negeri Tanah Melayu (termasuk Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) kepada bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan Negeri-Negeri Tanah Melayu kepada bahagian-bahagian pilihan raya negeri.

SPR mengemukakan laporan yang mengandungi syor-syor berkenaan dengan persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan Negeri dalam negeri-negeri Tanah Melayu (termasuk Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) kepada Perdana Menteri pada 9 Mac.

Semalam, Datuk Seri Najib Razak membentangkan usul kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya di Dewan Rakyat.

Laporan kajian semula persempadanan itu mengesyorkan tiada pertambahan kerusi bagi kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sekali gus mengekalkan 222 kerusi Parlimen dan 587 kerusi DUN.

SPR juga mengesyorkan perubahan nama pada 12 kawasan Parlimen dan 28 kawasan DUN di Semenanjung Malaysia.

Kali terakhir kajian semula persempadanan itu diadakan pada 2003 dan menurut Perlembagaan Persekutuan, ia perlu diadakan sekurang-kurangnya 8 tahun.

Usul itu menerima sokongan 129 ahli parlimen berbanding 80 yang menolak. Keputusan tersebut diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia selepas undian.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggulung perbahasan usul itu setelah ia dibahaskan oleh 14 ahli parlimen dari Barisan Nasional dan pembangkang.

Tiada ulasan: