HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Mac 2018

Tanah Ijok: Azmin beritahu KP SPRM jangan ugut kerajaan negeri

 
Menteri besar Selangor dakwa SPRM dipergunakan untuk menyerangnya.


Azmin mendakwa Umno merancang untuk memainkan kes tanah Ijok sebagai modal PRU14. (Gambar Youtube)


SHAH ALAM: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini memberitahu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Dzulkifli Ahmad jangan cuba mengugut kerajaan Selangor dalam kes tanah Ijok.

Beliau tidak menyebut secara khusus tindakan SPRM yang dikatakan berunsur ugutan itu, namun berkata demikian selepas SPRM berkata peneroka asal akan dipanggil untuk membantu siasatan kes penjualan tanah kira-kira 880 hektar itu pada harga RM1.18 bilion kepada pemaju swasta.

Menteri besar itu juga mendakwa SPRM dipergunakan Umno untuk menyerangnya.

“Mengapa Umno marah dengan saya bila saya tolong peneroka 980 orang? Kenapa Umno sanggup tolong syarikat dari tolong rakyat?” katanya, tanpa menamakan syarikat itu.

“Kenapa guna SPRM untuk serang saya? Ada pegawai SPRM ambil keterangan, beritahu ketua pesuruhjaya SPRM jangan cuba ugut kerajaan negeri.”

Beliau turut membidas Umno kerana memperbesar-besarkan kes tanah Ijok untuk mengelirukan rakyat.

“Kita boleh beza politik dan pandangan tapi kita kena terima hakikat 980 peneroka yang menunggu sejak 20 tahun lalu,” katanya di persidangan Dewan Negeri Selangor.

Azmin dalam ucapannya menunjukkan peta tanah Ijok yang sebenarnya terbahagi kepada 3 kawasan iaitu Alam Perdana, Alam Mutiara dan Alam Utama.

Menurut Azmin, hanya Alam Perdana milik kerajaan negeri sementara Alam Mutiara dan Alam Utama milik syarikat swasta dan menjadi pertikaian kini.

Sebelum ini, Dzulkifli berkata peneroka asal akan dipanggil minggu depan, selepas media melaporkan mereka sedia memberikan keterangan kepada SPRM berhubung kes itu.

Setakat ini 5 suspek kes itu sudah direman sehingga hari ini.

Pada 14 Mac lalu, media melaporkan sekumpulan 113 peneroka tanah di Ijok mengemukakan tuntutan terhadap 6 defendan termasuk menteri besar dan kerajaan Selangor berkaitan “kecuaian” Azmin dan kerajaan negeri dalam menstrukturkan persetujuan penghakiman di Mahkamah Persekutuan pada 2016.

Menurut laporan, kecuaian itu antaranya menyebabkan hak plaintif terjejas kerana tiada ganti rugi lewat menyiapkan rumah selama 12 tahun.

Sebelum ini, penyelesaian yang dikemukakan kerajaan negeri menyaksikan setiap peneroka menerima wang tunai RM180,000 dan membina rumah bernilai sehingga RM500,000.

Semalam, satu kumpulan bergelar Jawatankuasa Bertindak Rancangan Revolusi Hijau Bukit Cherakah memberi amaran tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menggagalkan usaha kerajaan negeri menyelesaikan isu pampasan tanah Ijok.

Azmin petik nama


Sementara itu, Azmin mendakwa Umno merancang memainkan kes tanah Ijok sebagai modal menjelang pilihan raya umum ke-14.

Beliau juga mendakwa seorang pemimpin Umno beritahu dia dipaksa oleh Pengerusi Umno Selangor Tan Sri Noh Omar untuk membuat kenyataan.

“Saya bertemu Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Irmohizam Ibrahim di Parlimen. Saya cakap sungguh. Saya kata apa bising-bising, beliau kata ‘aku ini dipaksa Datuk Seri Noh Omar buat kenyataan’. Tak apalah kalau beliau nak nafikan.”

Seterusnya beliau mendakwa bertemu seorang lagi pemimpin Umno yang mengatakan “bising-bising” perkara biasa menuju pilihan raya.

“Saya jumpa pula Datuk Seri Rahman Dahlan masa perasmian Parlimen. Beliau kata ‘Biasa la Azmin nak pilihan raya, kita bising-bising lah sikit’. Saya cakap ‘tak boleh, biarlah ada fakta’. Dakwaan beliau itu berpunca dari satu sahaja ‘single confusion’,” katanya.
‘Jangan ganggu kerajaan selesai isu tanah Ijok’, kata jawatankuasa
SPRM panggil peneroka asal bantu siasatan jual tanah Ijok RM1.18 bilion

Tiada ulasan: