HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Mac 2018

43 buah motosikal hangus dalam kejadian awal pagi



Wartawan MalaysiaGazette
 

PULAU PINANG – Sebanyak 43 buah motosikal yang diletakkan di aras bawah flat Wisma Telaga Air, Jalan Telaga Air, Butterworth di sini hangus dalam kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 2.45 pagi tadi.

Turut musnah dalam kejadian itu adalah enam buah kereta yang diletakkan berdekatan tempat letak motosikal di flat berkenaan.

Ketika kejadian, semua pemilik kenderaan sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan dengan bau asap serta jeritan beberapa saksi yang berada berdekatan lokasi kejadian.

Bagaimanapun, semua pemilik kenderaan berkenaan gagal menyelamatkan motosikal dan kereta masing-masing berikutan api yang marak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kebakaran berjaya dipadamkan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth dalam tempoh 15 minit.

Ujar beliau, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan rapi berhubung punca kejadian termasuk kemungkinan wujud unsur khianat dalam kejadian tersebut.

“Lokasi kejadian tidak dilengkapi sistem rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan sehingga kini masih tiada saksi yang tampil memberi maklumat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: