HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Mac 2018

Batal 9 projek Rumah Selangorku perkara kecil

Manzaidi Mohd Amin
Iskandar A. Samad


SHAH ALAM – Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu pembatalan sembilan projek Rumah Selangorku adalah perkara kecil yang tidak seharusnya dijadikan isu oleh pembangkang dari Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, pembatalan itu hanya melibatkan 2,402 unit rumah mampu milik sahaja.

“Perkara kecil (pembatalan), tak ada isu pun. Ia hanya melibatkan 2,402 unit rumah yang dibatalkan pembinaan daripada 150,073 unit dari 179 projek,” katanya pada persidangan Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Yang Ketiga Belas Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Menurut Iskandar, ada pihak tertentu yang mendakwa tindakan kerajaan negeri membatalkan sembilan projek itu akan menjejaskan reputasi dalam menyediakan projek Rumah Selangorku.

Kata beliau, keputusan itu diambil selepas pemaju gagal mendapatkan Kebenaran Merancang dalam tempoh dua tahun daripada tarikh kelulusan yang diberikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Bagaimanapun, langkah pembatalan itu yang dilihat menjadikan pemaju sebagai kambing hitam terus dikecam serta dipersoalkan pelbagai pihak.

Sementara itu, ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib menyifatkan tindakan kerajaan negeri itu boleh memberi implikasi besar kepada rakyat, yang mana lebih 2,000 pemohon gagal mendapat kediaman.

Kata beliau, Rumah Selangorku adalah projek yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi membantu rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: