HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Mac 2018

Kit Siang digantung 6 bulan: Wakil rakyat beretika akan malu, kata Pandikar

 
Speaker Dewan Rakyat berkata, Lim Kit Siang menghina Dewan Rakyat, bukannya beliau dengan hadir di dalam dewan dan beliau tidak akan menghiraukan penasihat DAP itu.




KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengesahkan Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) digantung tugas selama 6 bulan mulai semalam.

Keraguan timbul berhubung penggantungan ketua Parlimen DAP itu kerana tiada usul menggantung Lim diluluskan Parlimen.

Lim juga kekal dalam Dewan Rakyat sepanjang sidang semalam dan hari ini.

“Saya sudah beri arahan semalam. Jika seorang ahli Parlimen beretika, beliau akan berasa malu dengan tindakan itu.

“Tadi saya beritahu dewan yang ini adalah dewan mereka dan terpulang kepada mereka, jika beliau duduk di sana, saya boleh tutup mata.

“Ini bermakna beliau boleh sertai perbahasan, tetapi saya tidak akan nampaknya. Itu bermakna beliau tidak boleh sertai sebenarnya kerana saya tidak nampak,” katanya ketika ditemui dalam sebuah acara di Parlimen.

Pandikar bagaimanapun berkata, bukan beliau yang mengarahkan Lim meninggalkan dewan.

“Orang yang beri arahan itu ialah menteri, jadi terpulang kepada ahli Parlimen itu.

“Jika beliau enggan, beliau tidak hormat dewan, bukan saya,” kata Pandikar sambil menegaskan Lim tidak akan dibenarkan menyertai sesi perbahasan.

Pandikar berkata, beliau mengambil keputusan tidak menghiraukan Lim kerana pemimpin DAP itu enggan meninggalkan dewan dan tiada makna meneruskan isu itu.

Semalam, Lim bangkit untuk mempersoalkan kesahihan pembentangan usul mengenai laporan persempadanan semula kawasan pilihan raya dengan berkata, masih ada kes belum selesai di mahkamah.

Pandikar bagaimanapun bertegas ia adalah bidang kuasa Dewan Rakyat untuk memutuskan usul itu, sebelum beliau diganggu Lim.

Lim bagaimanapun enggan duduk, selepas berulang kali diminta berbuat demikian oleh Pandikar.

Beliau kemudian mengarahkan Lim keluar dewan kerana enggan mematuhi arahannya, namun penasihat DAP itu enggan dan terus duduk di kerusinya, walaupun pegawai Dewan Rakyat tampil mengiringi beliau keluar.

Dewan Rakyat ditangguhkan kira-kira 20 minit dan Lim dilihat memasuki dewan dan kekal duduk di tempatnya sehingga sidang berakhir serta hadir di Dewan Rakyat hari ini.

Lim mendakwa tiada usul diluluskan berhubung penggantungannya menyebabkan perkara itu dalam keadaan tidak pasti.

Ahli Parlimen pembangkang berkata, Lim berhak kekal dalam dewan, menyertai perbahasan dan undian kerana tiada usul penggantungannya diluluskan.

Ketika ditanya mengenai isu itu, seorang ahli Parlimen DAP berkata, speaker tidak menguatkuasakan penggantungan Lim sepenuhnya kerana beliau bimbang ia akan menimbulkan kebencian terhadap kerajaan dan menjejaskan peluangnya pada pilihan raya umum ke-14.

Tiada ulasan: