HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Mac 2018

RUU berita palsu: Kita bukan Jerman, kata peguam

 
Ia tidak mengatasi masalah berita tidak benar melainkan mengenakan hukuman yang lebih berat.


Peguam berkata RUU itu tidak menambah nilai kepada undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan, Akta Hasutan dan Akta Fitnah.


PETALING JAYA: Seorang peguam hak asasi manusia mempersoal Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 dan berkata ia tidak mengatasi masalah berita tidak benar melainkan mengenakan hukuman yang lebih berat.

New Sin Yew berkata selain daripada menambah hukuman bagi berita tidak benar, rang undang-undang itu tidak menambah nilai kepada undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 dan Akta Fitnah 1957.

“Kita mempunyai undang-undang yang mencukupi bagi menangani kes laporan atau maklumat palsu yang disebarkan.

“Wujud terlalu banyak pertindihan dalam undang-undang kita. RUU antiberita palsu ini tidak banyak mengubah keadaan dari segi pendakwaan kerana ia masih memerlukan kes dirujuk ke mahkamah.

“Masalah dengan rujukan kes ke mahkamah ialah ia proses yang perlahan dan mahal. Akta Fitnah memang hadapi masalah ini, begitu juga Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Selain itu wujud isu untuk menentukan apakah yang benar kerana mahkamah tertakluk kepada keterangan yang ada sahaja.

“Masalahnya tiada pihak yang memonopoli ‘kebenaran’,” kata New.

“Berita palsu memang masalah tetapi cara kerajaan menanganinya bersifat feudal. Ini percubaan yang salah dalam usaha menyekat masalah sebenar.”

Berhubung keadaan di Malaysia berbanding negara lain dalam konteks undang-undang antiberita palsu seperti Jerman, New berkata keadaannya berbeza.

“Di Jerman, kerajaan mengenakan tanggungjawab menangani penerbitan yang palsu ke atas pemilik media sosial. Selepas sejumlah aduan diterima oleh pemilik media sosial, maka syarikat perlu mengatasinya.

“Kerajaan (Jerman) juga memberi kuasa kepada laman dan komuniti media sosial bertindak ke atas berita palsu, tetapi ciri itu tidak ada di sini.”

New berkata, menyekat kebebasan bersuara dan pengucapan adalah tidak produktif berbanding tujuan yang mahu dicapai kerajaan dalam penggubalan undang-undang antiberita palsu itu.

Peguam Eric Paulsen memberitahu FMT, di Jerman keadaannya berbeza sama sekali kerana ia menghendaki pengendali media sosial memadamkan bahan serta tulisan tidak sah dan ungkapan kebencian.

“Konteksnya berbeza. Di Jerman wujud kempen berita palsu terhadap migran dan peminta suaka yang menuduh mereka melakukan jenayah rogol, sedangkan ia tuduhan palsu.

“Selain itu, di Jerman, Perancis dan Amerika Syarikat, wujud kempen canggih oleh entiti milik kerajaan dan Rusia bagi menyebarkan salah maklumat, sekali gus menggugat demokrasi di negara berkenaan.

“Keadaan itu tidak berlaku di Malaysia, dan jika berlaku penyebaran salah maklumat di sini, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia mempunyai cukup kuasa untuk menanganinya bawah undang-undang sedia ada.

Paulsen juga membuat perbandingan dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang mengumumkan rancangan menggubal undang-undang baru bagi memerangi berita palsu dan “propaganda” di media sosial, Januari lepas.

Sebagai mangsa berita palsu semasa pilihan raya tahun lepas, Macron dilaporkan berkata, undang-undang baru itu akan membolehkan tindakan segera diambil ke atas berita palsu semasa tempoh pilihan raya, yang memberi kuasa kepada hakim untuk memadamkan kandungan, menutup akaun atau menghalang akses ke laman web berkaitan.

“Bezanya, Macron mangsa yang sebenar. Di Malaysia, kerajaan akan menggunakan undang-undang yang ‘kabur’ (RUU Antiberita Tidak Benar) untuk menyasarkan berita yang tidak disukai dengan menuduhnya berita palsu.

“Pihak berkuasa diberi kuasa untuk bertindak, menangkap, menahan, merampas telefon mudah alih dan komputer, malah mendakwa seseorang di mahkamah.

“Kemudian mereka (kerajaan) akan berkata, kita serahkan kepada keputusan mahkamah, seolah-olah ia adil,” kata Paulsen.

Sebelum berlangsung pilihan raya Jerman pada September 2017, kerajaan meluluskan Akta Penguatkuasaan Rangkaian (NetzDG) pada Jun tahun yang sama, yang menumpu kepada jenayah kebencian dan berita palsu.

NetzDG ditujukan kepada “kandungan tidak sah” berkaitan kesalahan seperti menyebarkan maklumat yang dipalsukan atau menyatakan fakta tidak benar yang boleh menggugat keselamatan luar Jerman atau hubungan diplomatiknya.

Ia menghendaki platform media sosial utama seperti Facebook, Twitter dan Youtube mengadakan prosedur bagi membuang atau menyekat akses kepada kandungan yang jelas tidak sah dalam tempoh 24 jam selepas aduan dibuat atau dalam tempoh 7 hari bagi semua kandungan tidak sah, tertakluk kepada keadaan tertentu.

RUU Antiberita Tidak Benar 2018 dibentangkan di Parlimen Isnin lepas.

Di bawah undang-undang ini adalah menjadi kesalahan untuk membuat, menawarkan, menerbitkan dan menyebarkan berita palsu.

Ia juga menjadi kesalahan untuk memberikan sokongan kewangan secara langsung atau tidak langsung bagi membantu menyebarkan berita palsu atau bersubahahat dalam kesalahan itu.

RUU itu mentakrifkan berita tidak benar sebagai apa-apa berita, maklumat, data atau laporan yang sepenuh atau sebahagiannya tidak benar, sama ada dalam bentuk tulisan, visual, rakaman audio atau apa-apa bentuk lain yang berupaya mencadangkan perkataan atau idea.

Tiada ulasan: