HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Mac 2018

Kehadiran ceramah bukan ukuran jumlah undi – Salleh Said

 
Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, masalah pembangkang ialah 'mereka anggap sesuatu yang dikehendaki itu sudah jadi milik mereka, sedangkan ia belum jadi kenyataan'.


Salleh Said berkata PAS dan PKR pernah tewas di tangan BN walaupun ceramah menarik kehadiran ribuan orang.


KUALA LUMPUR: Pembangkang tidak boleh beranggapan bahawa kehadiran jumlah besar orang ramai dalam sesi ceramah mereka bermaksud memperoleh undi yang banyak pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, masalah dengan pembangkang ialah “mereka beranggapan sesuatu yang dikehendaki itu sudah menjadi milik mereka, sedangkan ia belum lagi menjadi kenyataan dan mengambil kira jumlah orang ramai yang hadir dalam ceramah itu sebagai bentuk undi.”

Beliau memberikan beberapa contoh untuk membuktikan perkara ini dalam catatan menerusi blog beliau semalam.

“Di Sanggang pada 2000, jumlah orang ramai yang menghadiri ceramah pembangkang begitu besar dan kesesakan lalu lintas adalah sepanjang berbatu-batu sehingga perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad mengulas mengenainya.

Bagaimanapun, calon PAS kalah dalam pilihan raya kecil itu kepada calon Umno,” kata beliau.

Beliau berkata, perkara yang sama berlaku di Indera Kayangan apabila 30,000 orang hadir pada ceramah PKR dan di sebelah, hanya 300 berada pada majlis yang dihadiri menteri besar ketika itu, Datuk Seri Shahidan Kassim.

“Tetapi calon PKR kalah kepada MCA,” kata beliau dan menambah bahawa baru-baru ini, Kuala Kangsar dan Sungai Besar adalah dua lagi contoh.

Salleh berkata, sejak 1990, pembangkang diberitahu bahawa jumlah orang ramai tidak dianggap sebagai undi tetapi mereka tidak pernah mempedulikannya.

“Mungkin sebaik sahaja PRU14 berakhir, dan undi telah dikira, mereka mungkin mula memahaminya,” kata beliau.

Tiada ulasan: