HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Mac 2018

TMJ sah tinggalkan FAM, kecewa usaha tak dihargai



Gambar Facebook


PETALING JAYA: Hari ini genap setahun Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengetuai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), tetapi Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu bertindak mengumumkan peletakan jawatannya sebagai presiden.

Katanya, beliau kecewa dengan segelintir pihak yang tidak menghargai usahanya untuk meningkatkan mutu bola sepak negara dan menilai beliau berdasarkan prestasi semasa skuad kebangsaan.

“Saya ibarat seekor harimau yang tidak patut berkhidmat untuk kambing biri-biri kerana harimau dan kambing biri-biri tidak boleh duduk sama. Harimau kena khidmat untuk harimau sahaja.

“Jadi, saya tak nak buang masa saya khidmat untuk orang yang tidak hargai TMJ. Saya tahu ramai orang kata saya bongkak. Saya hanya akan hormati orang yang layak saya hormati,” katanya.

Pengumuman itu turut dikongsi di Facebook Johor Southern Tigers dan TMJ menunjukkan surat peletakan jawatannya pada sidang media selepas Kongres Tahunan Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

“Saya ucap terima kasih kepada semua yang percayakan saya, penaja dan pasukan bertanding. Di sini adalah surat peletakan jawatan saya sebagai presiden FAM. Terima kasih bola sepak Malaysia.”

Tunku Ismail berkata, banyak struktur dan sistem baru dilakukannya selama setahun menerajui badan pentadbir bola sepak itu.

Katanya, prestasi pasukan bola sepak Malaysia di bawah 23 dan 19 tahun juga menunjukkan prestasi baik.

Pada 15 Mac lalu, Tunku Ismail mengucapkan selamat tinggal kepada FAM kerana bertanggungjawab terhadap Harimau Malaya yang jatuh 3 anak tangga dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Dalam ranking terbaharu Fifa yang diumumkan 15 Mac lalu, Harimau Malaya jatuh ke tempat ke-178 berbanding 175 pada bulan lalu.

Tunku Ismail dilantik sebagai presiden FAM pada 25 Mac 2017 selepas menang tanpa bertanding dan mendapat sokongan semua perwakilan.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata, sepanjang mengetuai FAM, beliau berjaya memperbetulkan struktur bola sepak negara, menarik penaja dan menyediakan pelan jangka panjang untuk bola sepak negara.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, mereka akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan peletakan jawatan Tunku Ismail.

Beliau turut menyifatkan keputusan TMJ sebagai kehilangan besar untuk bola sepak negara.

“Peletakan jawatan ini bermakna kita kehilangan seorang pemimpin yang berwibawa untuk bawa bola sepak di FAM dan negara. Satu kehilangan,” katanya ketika dihubungi FMT.
TMJ ucap selamat tinggal kepada FAM selepas ranking Harimau Malaya jatuh
 LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: