Oleh Ainor Rahim
AMPANG JAYA: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md
Yunos, mengumumkan beliau tidak akan bertanding di mana-mana kerusi
Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14) kali ini.
Katanya, meskipun diperuntukkan kerusi untuk bertanding dikawasannya,
namun beliau memutuskan untuk menolak dan terus konsisten dengan
kenyataannya sebelum ini.
“Bukan saya tidak dicalonkan, sepatutnya memang ada kerusi untuk saya
di kawasan saya dan ada satu lagi kerusi di kawasan yang lain. Tetapi
saya memilih untuk tidak bertanding kerana kenyataan saya sebelum ini
konsisten.
“Yang saya tidak akan bertanding cuma akan memberikan segala usaha
tenaga dan segalanya untuk membantu rakan-rakan yang lain untuk pastikan
untuk PRU14 ini Selangor kembali ke pangkuan BN. Sekurang-kurangnya 9
kawasan Parlimen untuk kita hadiahkan kepada YB Berhormat Datuk Seri
Najib.
“Jadi confirm saya tidak bertanding di mana-mana kerusi,” katanya
kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah
Ampang Jaya di sini, berhubung satu akaun palsu yang menggunakan namanya
dan membuat kenyataan berbaur perkauman.
Ujarnya, beliau bersedia ‘melupakan’ hasrat untuk menjadi wakil rakyat
di kawasannya, sekaligus bertekad untuk berganding bahu bersama calon
parti itu demi kemenangan BN di Selangor.
“Calon ini telah pun bekerja keras turun berjumpa dengan pengundi dan
masyarakat. Jadi saya sebagai Pengerusi atau Pengarah Parlimen Sg Besar
telah pun bersama sama dengan mereka untuk menggerakkan jentera,”
ujarnya.
Beliau juga memaklumkan, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai calon
yang akan dipertanding di Parlimen Sungai Besar dan DUN Sekinchan dan Sg
Panjang, yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
Jamal yang juga merupakan Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia sebelum ini
berkali-kali menyatakan kesediaan untuk bertanding dalam pada PRU14
kali ini, sama ada di kerusi Parlimen atau DUN Sungai Panjang.
Beberapa nama dikhabarkan akan bertanding di Parlimen Sungai Besar,
antaranya Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Jalil sebelum menolak
tawaran itu.
Selain, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dicalonkan di DUN Sekinchan bagi menentang DAP.
Pada masa ini kerusi Parlimen Sungai Besar disandang Budiman Mohd Zohdi yang juga ADUN Sungai Panjang.
Mengulas lanjut, Jamal juga memberitahu calon Umno-BN yang akan
dipertaruhkan pada PRU14 sudah dimuktamadkan, yang kini hanya menunggu
‘isyarat’ daripada pimpinan tertinggi untuk diumumkan.
Calon MB BN
Dalam perkembangan lain katanya, BN Selangor sudah mempunyai calon
yang bakal diangkat menjadi Menteri Besar yang disifatkan bakal memberi
tamparan cukup hebat kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Enggan mendedahkan lebih lanjut katanya, jelasnya individu berkenaan seperti yang hangat diperkatakan sebelum ini.
“Telah pun diwarwarkan dikalangan kami siapakah bakal calon MB, yang
kenyataannya telah pun dibuat Tan Sri Noh Omar selaku Pengerusi
Perhubungan BN Selangor sebelum ini.
“Bukan terdiri daripada ketua bahagian, wakil rakyat yang ada ada.
Maksudnya seorang yang punyai integriti tinggi, pendidikan cukup tinggi
daripada luar negara. Dan berpengalaman dalam politik tetapi bukanlah
orang politik. Mungkin juga saya boleh saya katakan daripada pegawai
kerajaan yang ada sekarang.
“Pemilihan untuk Menteri Besar Selangor calon calonnya cukup
berintegriti, yang bebas dari sebarang skandal. Kali ini ianya akan
memberikan satu tamparan kepada Menteri Besar yang ada ini. Yang
dipenuhi dengan pelbagai skandal. Rasuah, penyalahgunaan kuasa, kroni,
menjaga kaum keluarga,” ujarnya
Calon menteri besar Selangor daripada BN masih lagi menjadi tanda-tanya sekaligus menimbulkan pelbagai spekulasi.
Sebelum ini, nama Pegawai Khas Perdana Menteri, Isham Jalil yang
disebut-sebut, apabila beliau juga turut hadir dalam Majlis Pelancaran
Manifesto BN, baru-baru ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan