PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan
perbuatan pihak yang menghantar peluru hidup dan nota berbaur ugutan
kepada pegawai kanan suruhanjaya itu sebagai pengecut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, berkata pihaknya
memberi amaran tegas kepada individu yang cuba mengugut pegawai kanan
SPRM supaya menghentikan perbuatan itu.
"Saya mahu mereka yang terbabit menghentikan perbuatan itu kerana
tindakan pengecut sedemikian tidak akan sama sekali melemahkan semangat
pegawai SPRM daripada melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan
kepada kami.
"Perbuatan ugutan sedemikian hanya menyuntik lagi semangat kami untuk
terus berjuang dalam memastikan hak masyarakat terbela daripada anasir
rasuah dan salah guna kuasa di negara ini," katanya dalam kenyataan,
hari ini.
Dzulkifli berkata, SPRM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis bagi menyiasat kes berkenaan.
Semalam, media melaporkan dua pegawai kanan SPRM membuat laporan polis
apabila menerima peluru hidup dan nota amaran berbaur ugutan yang
diletakkan dalam peti surat di rumah mereka.
Kedua-dua pegawai berkenaan yang memegang gred Jawatan Utama Sektor Awam C (JUSA C) bertugas di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Mereka menerima bungkusan berbentuk ugutan itu dalam peti surat rumah di Bandar Seri Putra, Bangi dan Sungai Tangkas, Kajang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, dilaporkan berkata, pihaknya
menubuhkan pasukan khas bagi menjalankan siasatan kes berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan