LGBT adalah satu
kumpulan yang sebenarnya telah lama wujud yang diketahui semenjak zaman
Nabi Luth lagi. Ianya ribuan tahun dahulu, bukan dua tiga dekad ini.
Mungkin berbeza dari fizikal, tetapi ianya seperti yang sedia kita
maklum, berpunca daripada hati dan perasaan yang cenderung untuk menjadi
jantina yang berlawanan dengan yang mereka miliki. Ada juga yang rasa
puas nafsunya bila mendapat kedua-duanya. Ada yang suka memuaskannya
dengan jantina yang sama dan kemuncaknya ada yang merasa seksa batin
mereka terlepas apabila menukar terus jantina mereka menjadi apa yang
mereka mahukan.
Yang menukar keseluruhan sistem ciptaan
Allah itu, tidaklah ramai, tetapi ia berkembang. Apatah lagi dengan
bantuan teknologi moden, mereka boleh bertukar kepada jasad yang lebih
menarik lagi daripada jasad mereka yang asli. Tetapi paling
membimbangkan ialah golongan yang tidak bertukar fizikal, kekal dalam
bentuk asal mereka, tetapi semuanya mereka sapu, belakang depan, tiada
halangan, hanyalah peluang. Tiada terdetik oleh kita keraguan atas
tindak-tanduk mereka. Solat, puasa, zakat dan mungkin umrah dan haji
menjadi rutin mereka. Tidaklah berkubu di tempat mereka sahaja, tetapi
mereka melata di mana-mana sahaja hatta ada laporan di Madrasah
Pengajian Islam juga.
Dalam memahamkan masyarakat berkenaan
hak mereka yang perlu kita hormati, kita mesti jelas kepada isu pokok.
Isu pokok ialah jika mereka khunsa, atau sememangnya asli berperwatakan
begitu, tetapi mereka masih menjalani kehidupan normal yang lain, maka
benar, mereka wajib dihormati oleh seluruh lapisan masyarakat. Ini bukan
direka oleh manusia atau sekadar kebiasaan kita menghormati mereka
sebagai manusia tetapi lebih tegas dari itu, Islam mengajarkan kita
hukum berkenaan khunsa. Ada fikah kedudukan khusus kepada mereka. Tiada
di dalam kitab-kitab agama lain yang secara khusus membicarakan hak
golongan khunsa ini. Begitulah indahnya Islam mengajar hak asasi
manusia.
Akan tetapi kita sekarang bukan
berdiskusi mengenai khunsa yang ditakdirkan Allah secara semula jadi.
Kita membincangkan hal golongan khusna jadi-jadian. Semua agama, bukan
sahaja Islam, menolak secara total golongan luar tabi’i ini. Tiada
diterima oleh sesiapa sahaja yang waras. Mereka menjadikan alasan hak
asasi manusia sebagai perisai diri, pada masa yang sama hak asasi pihak
lain, dikesampingkan mereka.
Benar, dosa itu ketika di tempat
tertutup, tidak dibenarkan orang lain mengintai-ngintai sebagaimana yang
dipesan Allah di dalam Surah al-Hujurat. Begitu juga tauladan yang
ditinggalkan oleh Saidina Umar. Beliau diprotes oleh rakyat beliau
kerana beliau memanjat rumah rakyatnya bagi mengintai perbuatan dosa
rakyat itu. Ia sebagai suatu perlanggaran hak kepada rakyatnya. Tiada
hukuman dikenakan kepada rakyat itu kerana perlanggaran haknya oleh
Umar, walaupun terbukti rakyatnya melakukan kesalahan. Inilah contoh
kehebatan Islam.
Tidak boleh menyamakan kedudukan LGBT
dengan cerita Saidina Umar dan ayat al-Quran tadi sedang dalam masa yang
sama, LGBT melaung-laungkan perbuatan mereka. Membina rangkaian
peminat-peminat mereka, merekrut ahli-ahli baharu, menceritakan
pengalaman, berniaga barang-barang mereka, menyediakan tapak-tapak
markas mereka, mengisytiharkan akan berkahwin sesama mereka,
menunjuk-nunjuk bahagian sulit, maka contoh manakah yang boleh kita
samakan dengan riwayat Saidina Umar itu tadi? Dalam Islam, selain saksi
dan bukti, pengakuan si pelaku juga antara asbab hukuman dijatuhkan.
Adakah kita cuba mendiskriminasikan golongan ini atau kita yang
terkeliru dengan apa yang sepatutnya kita lakukan dengan tindakan mereka
ini?
Keutamaan kita sekarang ialah
membanteras kegiatan ini yang semakin menular dan ia sudah didedahkan
kepada masyarakat dengan berani dan tersusun. Semua lapisan masyarakat
menyedari kegiatan ini. Ia bakal membawa bencana kepada semua. Paling
ditakuti ialah bala dari Allah. Tidak sepatutnya dipesongkan isu ini
kepada isu pengamal LGBT menjadi kafir. Ia adalah isu penularan dosa
yang besar yang bakal berjangkit dan memusnahkan kehidupan. Jika begitu
tanggapan sesetengah orang, biarlah pengedar dadah dengan dunia mereka
kerana mereka memproses dadah di dalam makmal tertutup, tidak harus kita
mengintai-ngintai kegiatan mereka. Menjual dadah tidak mengkafirkan
seseorang. Begitukah cara kita menyelesaikan kekeliruan?
Bilakah lagi kita mahu membanteras
kegiatan ini? Adakah ketika LGBT mengetuk pintu rumah-rumah kita
baharulah kita tengadah? Kata ahli perang, pertahanan yang paling baik
ialah dengan menyerang musuh. Ayuh kita ‘serang’ LGBT dengan hikmah.
Jangan dibiarkan mereka berleluasa mengambil wilayah kita atas apa nama
sekalipun. Kitalah yang sepatutnya menguasai wilayah mereka.
MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan