HALAMAN SANTAI

Khamis, 13 September 2018

HIJRAH KEPADA MALAYSIA LAMA BUKAN BAHARU – JAMAL

Oleh : Syakirin Daud
 



Perubahan pentadbiran kerajaan baharu ternyata gagal membawa sebarang pembaharuan positif kepada negara, ujar Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos.

Malahan katanya situasi semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 120 hari jelas menunjukkan seolah-olah negara kembali ke zaman yang lebih lampau apabila hak rakyat diketepikan dan undang-undang rimba diperkenalkan.

“Lihat kes Guan Eng di mana kita dapati banyak persamaan dengan kes Datuk Seri Khir Toyo yang mana beliau dijatuhkan hukuman setahun meringkuk dalam penjara.

“Jadi apa yang membuatkan Lim Guan Eng dibebaskan? Apakah bezanya? Adakah undang-undang dulu dan sekarang berbeza? Adakah perlembagaan negara kita ini sudah berbeza? Tiada. Tetapi Lim Guan Eng dibebaskan walaupun 25 orang saksi telah dipanggil.

“Malah ramai lagi tokoh mereka dibebaskan. Ini salah satu penyalahgunaan kuasa. Inilah yang dikatakan Malaysia baharu,” katanya ketika ditemui media di rumahnya di Ampang pada Selasa.

Menurut beliau lagi, perdana menteri sepatutnya bertegas dan tidak tunduk kepada tekanan parti DAP yang mempunyai kerusi Parlimen terbesar dalam PH jika mahu membawa negara ke puncak kegemilangan seperti pada zaman beliau bersama UMNO.

“Saya nak menyeru Tun Mahathir jangan dengar sangat barua-barua DAP. Dia perdana menteri, jangan takut. Kalau nak dipecat perdana menteri mesti melalui proses undi tidak percaya, lambat lagi, sempat lagi (betulkan keadaan).

“Tetapi kita tidak boleh marahkan dia sebab umur dah 94 tahun. Tetapi saya harap Tun Mahathir boleh tambah lagi (umur) 100, biar dia boleh sampai 194 tahun,” katanya.


Tiada ulasan: