MARANG - Keputusan kerajaan Pakatan Harapan membatalkan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) adalah satu langkah berani.

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak meratifikasikan ICERD juga adalah satu langkah yang betul dan tepat.

Menurut Dr Ahmad Samsuri, keputusan itu wajar dengan mengambil kira demografi masyarakat yang ada dalam negara dengan berlatar belakang sejarah pembentukan Malaysia daripada Tanah Melayu.

"Jadi tentunya ini satu langkah yang dialu-alukan dan bagi pihak kerajaan negeri saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana mengambil tindakan sebegini.

"Sebenarnya ini bukan sekadar untuk ICERD tetapi dalam jua inisiatif di peringkat antarabangsa kepada mana mana negara haruslah dipertimbangkan oleh negara berkenaan sendiri," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Program Khatan Perdana 2018 bagi Dun Rhu Rendang diadakan di Dewan Sivik, Darat Pak Chan, di sini, pagi ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga merupakan Adun Rhu Rendang berkata, pertimbangan itu juga perlu dilakukan tanpa ada sebarang tekanan daripada mana mana pihak sama ada dari dalam atau luar negara.

"Sebagai sebuah negara merdeka kita berhak membuat keputusan kita sendiri tanpa ada tekanan daripada mana mana pihak," katanya pada program disertai seramai 160 kanak kanak dari Dun Rhu Rendang itu.