THE MALAYSIAN TIMES
PORT DICKSON: Polis belum menerima sebarang permohonan permit bagi mengadakan perhimpunan membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), yang dijadualkan berlangsung Jumaat ini, di Seremban.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaludin berkata berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2012, penganjur perlu mengemukakan permohonan permit 10 hari sebelum mengadakan sesuatu perhimpunan aman.
“Sekiranya mereka tidak memperoleh permit dan tetap mahu meneruskan perhimpuanan, mereka diingatkan agar tidak membuat sebarang provokasi melampau, mengganggu-gugat ketenteraman awam dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas.
“Hak bersuara adalah hak orang ramai namun janganlah berlebih-lebihan hingga menggugat keselamatan orang awam,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelupusan barang kes dadah JSJN negeri, di sini hari ini.
Sebelum ini, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan mengajak orang ramai menyertai Himpunan Bantah ICERD yang akan diadakan di Masjid Negeri, Seremban pada jam 2 petang Jumaat ini.
Perhimpunan itu dianjurkan pihaknya bersama Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sembilan dan Pemuda PAS sebagai membantah cadangan meratifikasi ICERD.
Dalam perkembangan lain, Noor Azam berkata polis setakat ini menerima enam laporan terhadap video tular Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy yang dikatakan mengeluarkan kenyataan fitnah dan menyentuh sensitivi perpaduan kaum di negara ini.
“Kita akan serahkan laporan itu ke Bukit Aman untuk siasatan lanjut, kita di sini hanya menerima laporan sahaja,” katanya.– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan